Minggu Burung Taiping serlahkan peranan Taiping sebagai destinasi ekopelancongan semula jadi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Minggu Burung Taiping serlahkan peranan Taiping sebagai destinasi ekopelancongan semula jadi

Minggu Burung Taiping 2025 memikat kehadiran pengunjung terutamanya kanak-kanak.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 13 Okt - Penganjuran Minggu Burung Taiping 2025 (Taiping Bird Week) menyerlahkan peranan Taiping sebagai destinasi ekopelancongan unggul selain memperkukuh imej sebagai bandar warisan semula jadi.

 

Paling penting adalah penglibatan aktif pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan serta masyarakat tempatan.

 

Ini membuktikan bahawa semangat kerjasama dan kepedulian terhadap alam sekitar masih utuh di hati warga Taiping.

 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, acara tahunan ini merupakan anjuran MPT dengan kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST).

 

Perak
Raja Iskandar Dzulkarnain (tengah) mendengar penerangan tentang spesies burung yang ada di Zoo Taiping & Safari Malam.
 

 

Perak

 

Menurut beliau, memasuki edisi keenam acara itu menyediakan aktiviti seperti pertandingan Taiping Bird Race, Taiping Photo Run, Taiping Bird Talk dan Hornbill Fun Walk.

 

“Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,200 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, jurugambar, pencinta alam, dan penduduk tempatan.

 

“Antara aktiviti utama yang diadakan ialah pertandingan Taiping Bird Race Kategori Sekolah yang menyaksikan penyertaan 35 kumpulan melibatkan 105 orang peserta. 

 

“Bagi Kategori Terbuka, sebanyak 11 kumpulan dengan 33 orang peserta turut mengambil bahagian, menampilkan semangat kesukanan dan minat mendalam terhadap dunia burung,” ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Perak
Raja Iskandar Dzulkarnain menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Photos Run, Muhammad Haziq Farhan dari Perak. 

 

Selain itu, pertandingan Taiping Photo Run turut menarik minat 23 peserta yang kreatif dalam merakam spesies burung terbanyak sekitar Larut dan Matang. 

 

Tidak ketinggalan, aktiviti larian santai Hornbill Fun Walk telah mencatatkan penyertaan tertinggi, iaitu seramai 700 orang.

 

Jelas Khairul Amir ini menunjukkan sokongan padu masyarakat khususnya dalam kalangan pencinta unggas dan alam semula jadi.

 

“Program Taiping Bird Talk pula telah berjaya menarik kehadiran lebih 200 orang peserta, sekali gus menjadi platform perkongsian ilmu dan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan habitat burung di kawasan Taiping,” katanya.

 

Perak

 
Perak
Acara larian santai Hornbill Fun Walk telah mencatatkan penyertaan seramai 700 orang. 

 

Perak

 

Terdahulu, majlis perasmian penutup Minggu Burung Taiping 2025 telah disempurnakan oleh Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

 

Turut hadir Orang Besar Jajahan Larut, Matang & Selama, Dato' Haji Wan Mohd Isa Dato' Haji Wan Razali dan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man. - DagangNews.com