TAIPING 8 Okt - Pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga menanti pengunjung di Zoo Taiping & Safari Malam bersempena program Minggu Burung Taiping 2025 (Taiping Bird Week) bermula Jumaat ini hingga Ahad.
Kali ini, acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh pencinta alam dan burung membawa tema keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian spesies burung.
Program selama tiga hari ini akan berlangsung dari pukul 8 pagi hingga 6 petang di Pavilion Zoo Taiping & Safari Malam.
Zoo Taiping & Safari Malam dalam kenyataan memaklumkan, penganjuran edisi keenam ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemuliharaan burung dan habitat semula jadi mereka.

Menurut kenyataan itu, Minggu Burung Taiping 2025 bukan sahaja menghiburkan, malah ia juga menjadi platform pendidikan yang efektif, terutamanya bagi generasi muda.
“Antara aktiviti utama yang bakal mencuri tumpuan ialah Taiping Photo Run, Taiping Bird Race dan Hornbill Fun Walk yang menggabungkan elemen kecergasan, kesedaran alam sekitar dan pengetahuan tentang burung.
“Acara Bird Talk pula akan memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesies-spesies burung yang unik.
“Sesi Meet & Greet The Birds membolehkan pengunjung berinteraksi lebih dekat dengan burung-burung terpilih di zoo tersebut,” ujar kenyataan tersebut.


Bagi kanak-kanak, pertandingan mewarna disediakan bagi mengasah kreativiti sambil mendidik mereka tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar sejak usia muda.
Orang ramai dijemput hadir untuk sama-sama menyertai acara ini dan memeriahkan suasana sambil menikmati keunikan dunia burung dalam persekitaran hijau yang menenangkan.
Dalam pada itu, peserta Taiping Bird Race & Taiping Photo Run layak menerima 50% diskaun sewaan banglo dan tapak perkhemahan di Bukit Larut sepanjang program yang berlangsung.
Tempahan bermalam boleh dibuat dengan menghubungi talian 05-8077 241. - DagangNews.com










