Beberapa syarikat disenarai pendek bagi kontrak membekalkan 60 kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) untuk kegunaan Malbatt di Lebanon.
Difahamkan penganugerahan kontrak akan diumumkan dalam sedikit masa lagi bertujuan melengkapkan pasukan tersebut.
Kini timbul teka-teki berhubung syarikat mana yang bakal diberikan kontrak HMLTV tersebut.
Ini susulan kenyataan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar bahawa kenderaan HMLTV akan mula dibekalkan kepada pasukan Malbat pertengahan tahun depan.
HMLTV merupakan kenderaan taktikal ringan yang mempunyai perisai bagi menangkis tembakan senjata kecil sesuai dengan fungsi untuk beroperasi di medan tempur.
Kenderaan ini boleh digunakan untuk melakukan tinjauan, menyusup ke kawasan musuh, membawa anggota dan pelbagai kegunaan operasi taktikal.

Bermakna, dalam jangkamasa antara 14 bulan kenderaan pertama HMLTV ini akan mula dioperasikan Malbat.
Ini bagi memastikan Malbat menjayakan misi pengaman di bawah naungan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL - PBB) di sana.
Mohd Nizam semasa mengadakan lawatan rasmi ke markas Malbatt 850-12 berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan pasukan pengaman negara sentiasa bersiap sedia menghadapi penugasan yang semakin mencabar.
Katanya, dengan kelengkapan canggih dan anggota berkualiti, Malbat dapat menjalankan tugas dengan cemerlang sebaris dengan negara lain dalam menjalankan misi sama.


Kesiapsiagaan mobiliti Malbatt membantu mereka dalam menjayakan misi melindungi orang awam dan diri sendiri daripada sebarang ancaman musuh pada masa depan.
Bagaimana pun dalam kenyataan tersebut, Mohd Nizam tidak menerangkan secara terperinci jenis kenderaan HMLTV yang menjadi pilihan ATM untuk Malbatt di Lebanon.
Ketika ini Malbatt menggunakan kenderaan Nurol Makina Panthera 4X4 buatan Türkiye atau IAG Guardian buatan United Kingdom.
Kedua-dua jenis kenderaan tersebut kini dioperasikan Malbatt sebagai pelengkap kepada kenderaan Radpanzer Condor.
Kementerian Pertahanan (Mindef) membeli 20 kenderaan Nurol Makina Panthera 4X4 pada tahun 2021 dengan kos RM190 juta.


Kesemua kenderaan telah diterima Malbatt pada tahun lepas.
IAG Guardian dibeli pada tahun 2018 untuk menggantikan 9 buah kenderaan APC Radpanzer Condor yang telah rosak.
IAG Guardian sebelum ini terpalit dengan kontroversi kerana tidak memenuhi spesifikasi sepertimana yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.
Bagaimana pun, kenderaan tersebut masih lagi dikira sebagai Contingent Own Equipment (COE) dan diterima pakai untuk operasi pengaman Malbatt di Lebanon.


Sepertimana diketahui, perolehan HMLTV ini telah diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2024 melibatkan peruntukan sebanyak RM400 juta.
Ini untuk menggantikan kenderaan-kenderaan di sana yang sudah tidak sesuai atau berusia secara berperingkat-peringkat antaranya termasuk kenderaan APC Radpanzer Condor yang berusia 40 tahun.
Jadi, proses penilaian terhadap calon HMLTV ini dipercayai telahpun dibuat pada tahun lalu termasuk menilai jenis kenderaan yang bersesuaian dengan kehendak operasi Malbatt serta sistem persenjataan dan juga elektronik kenderaan.
Berbanding kenderaan perisai seperti APC, HMLTV bersaiz lebih kecil, lebih ringan iaitu 6 tan tetapi mempunyai persenjataan yang baik dan lapisan perisai menahan tembakan senjata kecil.

Justeru, kos mengoperasikan kenderaan ini lebih rendah berbanding sebuah APC.
Bagi pasukan tentera pengaman seperti Malbatt adalah lebih sesuai dibekalkan dengan kenderaan jenis ini tetapi pada masa sama mampu memberikan perlindungan kepada anggota tentera.
Syarikat automotif pertahanan tempatan, Mildef International Technologies (Mildef) sebelum ini mempertaruhkan kenderaan HMLTV 4x4 buatannya kepada Tentera Darat.
Kenderaan yang pernah dipamerkan pada DSA2024 lalu dibina berdasarkan ciri-ciri yang dikehendaki ATM bagi misi ketenteraan termasuk tugas pengaman. - DagangNews.com







