MINDEF perlu cari jalan segera atasi pembatalan kontrak peluru berpandu NSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MINDEF perlu cari jalan segera atasi pembatalan kontrak peluru berpandu NSM

Pembatalan perolehan sistem peluru berpandu antikapal NSM memberi kesan kepada perancangan pemodenan TLDM.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Tindakan firma Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) dari Norway membatalkan penjualan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia kini menjadi satu isu apabila ia diumumkan secara mengejut. 

 

Perkara itu dikatakan telah dimaklumkan kepada Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin dalam satu pertemuan bersama pegawai kerajaan Norway pada 20 April, iaitu hari pertama pameran DSA 2026.

 

 

 

 

 

 

Kerajaan sebelum ini memeterai kontrak perolehan dua set pelancar sistem peluru berpandu antikapal NSM pada LIMA 2025 lalu dengan kos RM44 juta.

 

Pada satu sisi, tindakan firma antarabangsa itu membuka perdebatan dalam landskap perolehan pertahanan negara.

 

Kapal
Tiga buah kapal LCS yang sedang disiapkan oleh syarikat LUNAS di Lumut.

 

Keputusan yang dikaitkan dengan pendirian kerajaan Norway itu bukan sahaja memberi kesan kepada kontrak sedia ada, malah menimbulkan persoalan tentang kebolehpercayaan rakan pembekal strategik.

 

Mohamad Khaled dalam satu kenyataan  menjelaskan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengambil maklum perkembangan tersebut dan sedang meneliti implikasinya.

 

Katanya, kerajaan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik dengan Norway bagi mendapatkan penjelasan lanjut serta membincangkan langkah yang sewajarnya demi menjaga kepentingan negara.

 

Dalam masa yang sama, MINDEF akan terus memastikan kesiapsiagaan dan keperluan strategik pertahanan negara tidak terjejas.

 

Kapal
KD Maharaja Lela sedang melakukan ujian pelayaran.

 

Kontrak perolehan NSM sebelum ini merupakan komponen penting dalam melengkapkan keupayaan kapal tempur pesisir (LCS) TLDM.

 

Sistem NSM dipilih selepas melalui proses penilaian teknikal yang menyaksikan ia bersaing dengan Exocet MM40 Block 3 buatan Perancis.

 

Pemilihan tersebut menunjukkan kecenderungan Malaysia untuk mengadaptasi teknologi yang lebih moden dan fleksibel dalam peperangan maritim.

 

Namun, tindakan menyekat penghantaran tanpa notis awal dilihat mencabar prinsip asas dalam kontrak antarabangsa.

 

Ia juga berpotensi menjejaskan reputasi KDA sebagai pembekal pertahanan global yang dipercayai.

 

Kapal

 

Kapal

 

Sehingga kini belum ada sebab jelas mengapa firma KDA berbuat demikian tetapi ia dikatakan kerana Malaysia bukan negara anggota NATO.

 

Ada juga sumber yang membayangkan pembatalan ini terkait dengan konflik di Timur Tengah di mana KDA perlu mengutamakan pembelian daripada negara-negara sekutu NATO.

 

Dalam konteks lebih luas, keputusan ini mencerminkan bagaimana faktor geopolitik boleh mempengaruhi rantaian bekalan pertahanan.

 

Jika berdasarkan rekaan asal Gowind, kapal ini memang dipadankan dengan peluru berpandu Exocet MM40 generasi terkini.

 

Cuma Malaysia sahaja yang memilih NSM manakala pengguna lain seperti Mesir dan UAE melengkapkan kapal Gowind mereka dengan Exocet.

 

Kapal

 

Walaupun tidak disentuh, tetapi perkembangan terbaru ini dibimbangi merencatkan kemajuan pembinaan kapal LCS.

 

LCS ketika ini sedang melalui fasa ujian pelayaran walaupun tanpa sistem persenjataan utama iaitu peluru berpandu.

 

Kapal tersebut telah pun dilengkapi dengan ramp bagi pemasangan sistem peluru berpandu antikapal NSM.

 

Kapal LCS 1, KD Maharaja Lela telah ditetapkan untuk diserahkan kepada TLDM pada Disember ini.

 

Kapal
Exocet MM40 Block 3.

 

Sudah pasti proses untuk memuktamadkan perolehan peluru berpandu baharu akan memakan masa yang lebih lama.

 

Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap jurang keupayaan dalam pertahanan maritim negara.

 

Walaupun begitu, pendekatan diplomatik yang diambil oleh kerajaan Malaysia adalah langkah yang pragmatik.

 

Saluran diplomatik juga membuka ruang rundingan semula atau penyelesaian yang lebih konstruktif.

 

Dalam masa yang sama, MINDEF perlu bersedia dengan pelan kontingensi yang realistik.

 

Kapal

 

Kapal
Korvet kelas ADA yang menjadi asas rekaan kapal LMS dilengkapi dengan sistem peluru berpandu antikapal ATMACA.

 

Antara alternatif adalah memilih semula sistem peluru berpandu Exocet MM40 Block 3 atau ATMACA keluaran Roketsan dari Turkiye.

 

ATMACA telah dipilih sebagai senjata antikapal untuk 3 buah kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 yang sedang dibina di Turkiye.

 

Kedua-dua sistem ini juga terbukti berkeupayaan tinggi dan telah digunakan oleh beberapa angkatan laut dunia.

 

Jika Exocet dipilih bermakna dari sudut integrasi teknikal, peralihan kepada Exocet mungkin lebih lancar berbanding ATMACA.

 

Namun, faktor kos, masa integrasi dan keperluan latihan semula tetap perlu diberi perhatian kerana pemasangan sistem peluru berpandu antikapal merupakan proses yang kompleks.

 

Kapal
ATMACA

 

Dari sudut strategik, insiden ini memberi pengajaran penting kepada Malaysia mengenai kebergantungan kepada pembekal luar.

 

Diversifikasi sumber perolehan pertahanan menjadi semakin kritikal dalam dunia yang tidak menentu.

 

 

 

 

 

 

Selain itu, ia juga menguatkan hujah untuk Malaysia memperkasa industri pertahanan tempatan dalam jangka panjang supaya benar-benar berdikari.

 

Malaysia sebenarnya tidak kekurangan profesor dan saintis yang mampu melakukan kerjasama dengan firma luar menghasilkan sistem peluru berpandu jika diberi dana dan peluang. - DagangNews.com