Mindef buka kontrak RM400 juta bekalkan kenderaan HMLTV bagi Malbatt | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mindef buka kontrak RM400 juta bekalkan kenderaan HMLTV bagi Malbatt

Kenderaan Panthera 4x4 yang diguna Malbatt di Lebanon.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 10 Jun - Kontrak bernilai RM400 juta membekalkan kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) untuk Tentera Darat Malaysia telah dibuka Kementerian Pertahanan (Mindef) kepada syarikat berkelayakan.

 

Kontrak itu bagi membekal, menguji dan menghantar sebanyak 50 buah kenderaan HMLTV yang diperlukan. Tawaran tender berkenaan dibuka sehingga 3 Julai ini.

 

Bahagian Perolehan Mindef menyebut kesemua kenderaan HMLTV ini bagi kegunaan pasukan tentera pengaman Malaysia di Lubnan (Malbatt), menurut laporan laman web pertahanan Malaysia Defence.


 

Kenderaan
Kenderaan IAG Guardian semasa melakukan rondaan di Lubnan.

 

Kenderaan


 

Hasrat Mindef untuk membekalkan kenderaan HMLTV kepada Malbatt telah dirancang sejak beberapa tahun lalu sebagai usaha melengkapkan pasukan tersebut.

 

Pada April lalu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar memaklumkan kenderaan HMLTV akan dibekalkan kepada Malbatt mulai pertengahan tahun depan.

 

Beliau semasa melawat pasukan Malbatt 850-12 (UNIFIL-PBB) berkata, langkah berkenaan bagi memastikan pasukan Malbatt sentiasa bersiap sedia menghadapi penugasan yang semakin mencabar dan kompleks di Lubnan.

 

Ini untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan mobiliti sekali gus membantu Malbatt dalam menjayakan misi melindungi orang awam dan diri sendiri daripada sebarang ancaman musuh pada masa depan.

 

Kenderaan
HMLTV Ribat buatan MILDEF.

 

HMLTV merupakan kenderaan taktikal ringan yang mempunyai perisai bagi menangkis tembakan senjata kecil sesuai dengan fungsi untuk beroperasi di medan tempur. 

 

Kenderaan ini boleh digunakan untuk melakukan tinjauan, menyusup ke kawasan musuh, membawa anggota dan pelbagai kegunaan operasi taktikal. 

 

Walaupun tidak dinyatakan secara terperinci tetapi berkemungkinan ia juga untuk menggantikan sebahagian kenderaan Radpanzer Condor yang digunakan di sana sejak tahun 2007. 

 

Ketika ini Malbatt mengoperasikan 2 jenis kenderaan HMLTV di Lubnan iaitu APC Guardian dan Nurol Makina Panthera 4X4.

 

Malbatt menerima 9 buah APC Guardian pada 2018 sebagai sebahagian kontrak perolehan sistem misil Starstreak daripada syarikat Global Komited bagi menggantikan kenderaan berperisai yang lama serta rosak. 

 

Kenderaan
Nurul Makina Panthera 4x4.

 

Kenderaan
Anggota Malbatt bersama sebahagian kenderaan Panthera 4x4 yang diterima.

 

Perolehan 20 buah kenderaan Nurol Makina Panthera 4X4 dari Türkiye pula dibuat pada tahun 2021 dengan kos RM190 juta. 

 

Kontrak HMLTV ini dijangka menarik penyertaan beberapa syarikat tempatan dan luar negara yang sejak beberapa tahun lalu telah pun menawarkan kenderaan masing-masing kepada ATM.

 

Antaranya Global Komited yang juga anak syarikat kepada Westar Group.

 

Syarikat itu sebelum ini telah membekalkan 4 buah kenderaan IAG Guardian Extreme 4x4 kepada Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia.

 

Kenderaan
PDRM membeli 4 buah kenderaan IAG Guardian Extreme.

 

Kenderaan
Kenderaan IAG Guardian Extreme dalam corak celoreng tentera darat.

 

Varian yang dimiliki PDRM ini bagaimana pun tidak mempunyai tempat meletakkan senjata dan berperanan sebagai kenderaan perisai.

 

Nurol Makina, pembekal kenderaan Panthera 4x4 pasti mahu jumlahnya ditambah lantas melonjak angka jualan di pentas global.

 

Seterusnya Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) menerusi kenderaan HMLTV Ribat yang dilancarkan pada LIMA 2025 lepas.

 

Ribat merupakan kesinambungan kepada kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) Tarantula yang diperkenalkan MILDEF pada 2 April 2021. 

 

MILDEF baru diberi kontrak pembekalan 136 buah HMAV Tarantula kepada Tentera Darat Malaysia yang dimeterai semasa LIMA 2025.

 

Sejauhmana peluang MILDEF untuk mendapatkan kontrak seterusnya tidak diketahui, namun ini pasti melonjakkan lagi industri pertahanan tempatan. - DagangNews.com