Jangkaan untuk kerajaan menambah lagi bilangan kapal misi pesisir (LMS) sepertimana diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semakin jelas.
Terbaharu menerusi kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang memaklumkan sedemikian semasa sidang akhbar pada satu Program Digitalisasi Affin Digital Space di Sekolah Kebangsaan TUDM Subang, Selangor minggu lalu.
Katanya, kerajaan mempunyai komitmen tinggi untuk menambah LMS seperti yang telah dimeterai melalui kerjasama dengan Turkiye.
Kerajaan juga tegas Adly memberi jaminan untuk terus memperkukuh keupayaan pertahanan laut negara menerusi penambahan aset TLDM.


Perolehan kapal LMS melengkapkan aset lain yang bakal diterima TLDM iaitu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang kini berada dalam fasa ujian pelabuhan dan laut.
LCS pertama, KD Maharaja Lela dijangka siap sepenuhnya dan dapat digunakan menjelang tahun hadapan, selaras dengan jadual perancangan kementerian.
Kapal kedua LCS pula baru sahaja menjalani proses pemasangan sistem radar pengawasan utama di limbungan Lumut Naval Shipyard.
Biarpun perolehan LMS baharu ini tidak akan berlaku esok, tetapi setidak-tidaknya ia memberi nafas untuk armada TLDM bangkit semula setelah sekian lama berdepan dengan isu aset-aset usang.
Banyak kapal dan aset TLDM menghadapi masalah penyelenggaraan yang mana kapal-kapal berusia lebih 30 hingga 40 tahun masih terpaksa dikekalkan.


Usia kapal ini menyebabkan masalah keupayaan dan kecekapan.
Sebelum ini perkara sama telah disuarakan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain semasa berucap pada Hari TLDM di Lumut, Perak bulan lalu.
Zulhelmi memaklumkan bahawa perolehan LMS Batch 3 ini akan dilakukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang mana aset-aset tersebut perlu dioperasikan sebelum tahun 2035.
Kapal pertama LMS Batch 2 dijangka siap pertengahan 2026 sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung 2027 diikuti dua kapal berikutnya secara berperingkat-peringkat.
Tiga buah LMS Batch 2 dibina mengikut rekaan korvet kelas Ada oleh syarikat Turkiye, Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) ini menepati keperluan TLDM untuk melaksanakan pelbagai tugas.


TLDM memerlukan kapal-kapal LMS Batch 2 bagi memperkasakan rondaan dan pengawasan di perairan Laut China Selatan.
Berdepan dengan cabaran di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan, TLDM perlu mempunyai kekuatan yang seimbang agar dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Armada TLDM mestilah kuat, dapat menggerunkan musuh atau bakal musuh dengan peranannya sebagai aset cegah rintang.
Adanya aset yang kuat menyebabkan musuh berfikir banyak kali untuk mendekati batas perairan negara khususnya di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Pada masa sama, keputusan menambah LMS dari Türkiye bakal memberi keuntungan jangka panjang kepada banyak pihak yang terbabit dalam ekosistem pembelian tersebut.

Selain TLDM sebagai pengguna, pihak lain yang wajib dilibatkan sama adalah industri pertahanan maritim tempatan termasuklah yang berstatus hiliran.
Ini kerana banyak manfaat yang boleh diteroka industri tempatan memandangkan Türkiye memiliki industri besar.
Impak kerjasama pertahanan dengan Türkiye juga mula melihat apabila negara tersebut bakal hadir pada Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA) kali ini sebagai antara pempamer luar negara terbesar.
Difahamkan selain penyertaan industri maritim, beberapa syarikat aeroangkasa, sistem persenjataan dan elektronik Türkiye juga akan turut serta.
Sekiranya kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan pemodenan TLDM ini diterjemahkan semasa LIMA 2025 nanti dengan pengumuman baharu berkaitan LCS Batch 3, ia pasti lebih bermakna. - DagangNews.com







