Mindef akan tawar kontrak MRSS selepas TLDM selesai perincikan spesifikasi kapal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mindef akan tawar kontrak MRSS selepas TLDM selesai perincikan spesifikasi kapal

Kapal kelas Makassar yang dicadangkan sebagai MRSS TLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 16 Jun - Kementerian Pertahanan (Mindef) dipercayai sedang memuktamadkan spesifikasi kapal sokongan logistik pelbagai peranan (Multi Role Support Ship - MRSS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Difahamkan spesifikasi am yang ditekankan pada kapal MRSS TLDM ialah panjang kira-kira 150 meter dan berat kira-kira 10,000 tan.

 

Berdasarkan spesifikasi ini nanti TLDM dapat memperincikan jenis dan keupayaan kapal MRSS yang hendak dibeli.

 

Sepertimana yang diketahui, kontrak membekalkan kapal-kapal MRSS TLDM diintai beberapa syarikat pembinaan kapal sejak beberapa tahun lalu.

 

Kapal
Model MRSS kelas Makassar yang dicadangkan kepada TLDM.

 

Kapal

 

Dengan nilai kira-kira RM5 bilion ia bakal menjadi antara kontrak terbesar Mindef yang ditawarkan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) iaitu bagi tempoh 2026 hingga 2030.

 

Mengikut perancangan, 2 buah kapal akan dibeli menggunakan peruntukan pada RMK-13 manakala kapal ketiga pada RMK-14.

 

Persaingan antara syarikat-syarikat yang berminat ini boleh dilihat semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025) bulan lalu.

 

Beberapa buah syarikat yang menyertai pameran ini mempamerkan model kapal MRSS masing-masing.

 

Kapal
Kapal KRI Makassar (tengah) semasa latihan dengan kapal negara asing.

 

Melihat pada pameran tersebut boleh membayangkan rupa bentuk fizikal MRSS yang bakal menjadi aset terbaharu TLDM nanti.

 

PT PAL Indonesia misalnya berminat menawarkan rekaan kapal kelas Makassar yang telah terbukti keupayaannya dengan tentera laut Indonesia dan menembusi pasaran eksport ke Filipina.

 

Sejak LIMA 2017, PT PAL Indonesia telah mempamerkan model kapal kelas tersebut yang mana sekiranya terpilih, pembinaannya akan dilakukan dengan kerjasama syarikat tempatan.

 

Sebagai syarikat perkapalan terbesar di Asia Tenggara, ada kelebihan sekiranya PT PAL Indonesia dipilih TLDM sekali gus mengeratkan lagi kerjasama pertahanan serantau.

 

Semasa pameran pertahanan DSA 2024 di Kuala Lumpur, PT PAL Indonesia dan Lumut Naval Shipyard (Lunas) telah menandatangani memorandum persefahaman bagi kerjasama projek MRSS TLDM.

 

Kapal
Model MRSS yang ditawarkan STM.

 

Türkiye melalui syarikat Savunma Teknolojileri Mühendislik atau STM turut menampilkan rekaan kapal MRSS yang dicadangkan kepada TLDM.

 

Ini kali pertama STM menampilkan model MRSS pada LIMA 2025 yang mana rekaan tersebut dibuat berdasarkan ciri-ciri yang diperlukan TLDM bagi menyokong operasi maritim.

 

Kapal sepanjang 153 meter itu boleh membawa sehingga 650 anggota, 14 kereta kebal, 9 kenderaan amfibia berperisai dan 2 helikopter saiz sederhana.

 

Setelah berjaya memenangi kontrak kapal LMS Batch 2 TLDM, STM telah membina reputasi dan hubungan industri dengan Malaysia.

 

Kapal
Model HDL-1300 buatan Hyundai Shipyard.
 

 

Kapal

 

Pembinaan LMS Batch 2 telah pun bermula dan 3 buah kapal ini dijangka siap pada 2027.

 

Berdasarkan reputasi tersebut menyaksikan syarikat perkapalan terbesar Türkiye ini meletak harapan tinggi untuk mengembangkan kerjasama tersebut menerusi projek MRSS TLDM pula.

 

Damen Shipyard dari Belanda pula mengetengahkan rekaan kapal MPSS 9000 yang bentuknya berasaskan kapal MPSS 7000 yang sedang dibina untuk tentera laut Portugal.

 

Bagaimana pun, rekaan sebenar kapal kepada TLDM adalah berasaskan apa yang diminta jika Damen dipilih sebagai pemenang.

 

Kapal
Gambaran grafik kapal MPSS 9000.

 

MPSS 9000 sepanjang 130 meter mempunyai rekaan moden dan bersifat modular bagi memudahkan penyelenggaraan dan jangka hayat kapal.

 

Turut menampilkan rekaan MRSS semasa LIMA 2025 ialah syarikat Korea, Hyundai Heavy Industries dengan model HDL-13000.

 

Menerusi rakan strategik di Malaysia, Kemalak Marine, kedua-dua syarikat itu bekerjasama untuk memasarkan MRSS ini kepada TLDM.

 

Korea setelah berjaya memenangi kontrak pesawat tempur ringan FA-50M ingin meneroka peluang seterusnya dalam pembuatan kapal perang di Malaysia.

 

Kapal
Kapal amfibia Kalaat Beni--Abbes.

 

Kapal

 

Industri maritim Korea yang maju setanding negara barat memberi kelebihan selain hubungan diplomatik dan perdagangan yang baik dengan Malaysia.

 

Tidak ketinggalan menawarkan kapal MRSS ialah syarikat Fincantieri dari Itali menerusi rekaan kapal pendaratan amfibia Kalaat Beni-Abbes yang dibina untuk Algeria.

 

Kapal sepanjang 143 ini dibina berasaskan kapal pendarat kelas San Giorgio keupayaan tentera laut Itali.

 

Fincantieri juga bukan asing kepada TLDM kerana syarikat itu telah membina 4 buah kapal korvet kelas Laksamana yang dibeli pada tahun 1995.

 

Perolehan MRSS TLDM ini akan mempunyai implikasi strategik jangka panjang, membentuk keupayaan pertahanan maritim negara untuk beberapa dekad akan datang.

 

Bagi syarikat perkapalan yang dipilih pula, kontrak MRSS TLDM bukan sahaja lumayan, malah lebih penting mengukuhkan kehadiran ekonomi mereka di rantau sebelah sini. - DagangNews.com