Minat pembelian masih teguh, MBSB Research unjur prospek sektor hartanah pada 2026 lebih cerah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Minat pembelian masih teguh, MBSB Research unjur prospek sektor hartanah pada 2026 lebih cerah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 DisMBSB Research mengekalkan saranan 'positif' terhadap sektor hartanah di negara ini disokong oleh data pinjaman perumahan yang kukuh dan jualan baharu semakin stabil.


Firma itu menambah, prospek pendapatan diramal lebih cerah sepanjang 2026 serta menyenaraikan Mah Sing Group Berhad, Matrix Concepts, dan UOA Development sebagai tiga kaunter pilihan utama.


Katanya, data Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati permohonan pinjaman pembelian hartanah terus baik bagi bulan ketiga mencecah RM60.3 bilion, naik 7% tahun ke tahun (YoY) pada Oktober 2025. 


"Peningkatan ini mengimbangi penyusutan pada September 2025 yang dipengaruhi cuti sekolah dan cuti umum, manakala secara keseluruhan, permohonan pinjaman 10MCY25 naik 3.4% YoY," kata MBSB Research.


Ia meningkat kepada RM550.4 bilion, menandakan sentimen pembelian kediaman kekal utuh, sementara 
pinjaman diluluskan turut meningkat kukuh kepada RM27.3 bilion (+12% YoY) pada Oktober 2025.


Lonjakan ini kata firma itu, dipacu oleh kadar kelulusan yang lebih tinggi iaitu 45.3% berbanding 43.2% pada setahun lalu, dan secara kumulatif, kelulusan pinjaman 10MCY25 bertambah +0.9% YoY.


Menurut MBSB Research, perkembangan ini memberi isyarat positif kepada prospek jualan pemaju, dengan daripada tujuh syarikat hartanah yang di bawah liputannya, empat sudah memenuhi jangkaan.


"Tiga pula, iaitu IOI Properties, UOA Development dan EcoWorld mencatat kejutan positif apabila merekodkan pertumbuhan pendapatan tertinggi, disokong kos lebih rendah dan margin kukuh," katanya.


Sumbangan lebih baik daripada aset pelaburan turut membantu mereka, tetapi Sunway Berhad mencatat penurunan akibat perbandingan asas tinggi tahun sebelumnya dan kerugian permulaan hospital baharu.


MBSB Research berkata, kebanyakan pemaju berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan 2025, selepas momentum kukuh pada 2024, dengan prospek jualan pada 2026 dijangka dipacu projek besar.


Antaranya jelas firma penyelidikan tersebut, di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang bakal merangsang minat pembeli tempatan dan asing, selain sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.


"Walaupun stok rumah yang tidak terjual naik kepada 28,672 unit pada 3QCY25, kami tidak melihat sebarang risiko besar kerana angka di negeri-negeri utama pula masih lagi didapati kekal stabil," jelasnya.


Sebanyak 64% kes itu kata MBSB Research, melibatkan harga kurang RM500,000, menunjukkan isu lebih tertumpu pada segmen mampu milik, manakala jumlah unit pangsapuri servis tidak dibeli hampir sama.


Ia mengekalkan unjuran positif terhadap sektor hartanah berikutan minat belian yang berdaya tahan, prospek hasil lebih cerah serta permintaan hartanah industri semakin meningkat. - DagangNews.com