KUALA LUMPUR 12 Ogos — RHB Research bertindak menghentikan sebarang liputan ke atas saham Synergy House Berhad disebabkan faktor minat daripada pelanggan yang semakin terhad kebelakangan ini.
Firma penyelidikan tersebut berkata, selain isu berkenaan, langkah penamatan juga dilaksanakannya berikutan aktiviti pengagihan semula sumber dalaman kumpulan perniagaan perabot itu ketika ini.
Ia menjangkakan tempoh 2Q24 menjadi suku musim paling lemah kepada syarikat itu sejajar dengan corak permintaan merentas segmen perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pengguna (B2C).
"Kami meramalkan Synergy House akan menghadapi pelbagai cabaran jangka pendek termasuk masalah tarif Amerika Syarikat (AS) dan kadar tukaran asing (forex)," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Dalam segmen B2B, beberapa pelanggan tambah firma berkenaan, telah menangguhkan penghantaran mereka di tengah-tengah isu ketidakpastian mengenai tarif import AS yang baru dilaksanakan awal bulan ini.
Sementara itu, segmen B2C kumpulan tersebut berkemungkinan menghadapi perbelanjaan pengguna yang lebih lemah secara bermusim semasa tempoh cuti musim panas, selaras dengan aliran pada tahun lalu.
RHB Research berkata, gabungan halangan disebabkan masalah tarif dan forex yang lebih lemah di pasaran antarabangsa dijangka memberi tekanan tambahan ke atas prestasi Synergy House pada tahun ini.
"Tinjauan kami kekal berhati-hati sehingga ada kejelasan atau lulus kos dicapai tanpa menjejaskan permintaan di samping kecairan rendah saham kemungkinan mengehadkan penyertaan pelabur," katanya.
Hasil pemantauan firma itu daripada webinar runcit dan keputusan rakan setaranya baru-baru ini, ia percaya segmen B2B menghadapi kemerosotan yang lebih teruk daripada apa dijangkakan pada mulanya.
Pada masa sama kata RHB Research, ia menjangkakan kadar larian yang lebih rendah ini akan masih lagi berterusan apabila syarikat tersebut mengalihkan tumpuan daripada B2B kepada segmen B2C pula.
Justeru firma itu berpandangan, FY25 dan FY26 berkemungkinan menjadi tahun peralihan, kerana Synergy House sibuk berubah lebih banyak ke arah B2C yang dipacu perkhidmatan e-dagangnya sendiri.
"Selain itu, kami difahamkan yang syarikat ini juga tidak layak untuk mendapat pengecualian cukai selepas gagal dalam memenuhi kriteria ambang pertumbuhan jualan minimum diperlukan," tambahnya.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research memberi saranan terakhirnya sebagai 'neutral' ke atas prospek kumpulan tersebut dengan harga sasaran 65 sen sesaham. - DagangNews.com








