KUALA LUMPUR 14 April – Milolo Berhad, syarikat yang menjual pelbagai mainan koleksi memperoleh kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Berhad sebagai langkah penting dalam fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan tersebut.
Bursa Malaysia Securities dalam surat bertarikh 13 April 2026 telah meluluskan kemasukan Milolo ke dalam Senarai Rasmi serta penyenaraian dan sebut harga keseluruhan modal saham terbitannya di Pasaran LEAP.
Seiring dengan penyenaraian tersebut, DWA Advisory Sdn Bhd telah dilantik sebagai Penasihat Diluluskan serta Penasihat Berterusan bagi urusan korporat berkenaan.
Milolo akan disenaraikan dengan jumlah keseluruhan 250 juta saham biasa di Pasaran LEAP Bursa Malaysia.
Berdasarkan harga rujukan penyenaraian sebanyak 10 sen sesaham, Milolo dijangka mempunyai modal pasaran sekitar RM25 juta sebaik sahaja disenaraikan.
Menjelang penyenaraian itu, Milolo telah mengumpul RM3.5 juta melalui dua pelaksanaan langganan saham persendirian yang dilaksanakan pada Februari 2026.
Langganan tersebut melibatkan penerbitan 45 juta saham dan 25 juta saham kepada pelabur persendirian bebas, masing-masing mewakili 18% dan 10% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.

Daripada hasil yang diperoleh, sebanyak 42.86% akan digunakan bagi pembukaan cawangan runcit baharu di pusat beli-belah utama sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bagi memperkukuh kehadiran pasaran kumpulan.
Sementara itu, 28.57% daripada dana berkenaan diperuntukkan untuk pembangunan serta promosi portfolio harta intelek (IP) proprietari Milolo bagi memperluas jenama dan karakter asal syarikat.
Baki 28.57% lagi akan digunakan untuk menampung perbelanjaan berkaitan proses penyenaraian di Pasaran LEAP Bursa Malaysia.
Milolo ketika ini menjalankan perniagaan peruncitan mainan koleksi termasuk blind box, figura pereka, serta produk gaya hidup, selain mengedarkan jenama pihak ketiga seperti Pop Mart, Top Toy dan Funism.
Kumpulan itu kini mengendalikan 10 cawangan runcit di seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di pusat beli-belah utama seperti Mid Valley Megamall, Sunway Pyramid dan Pavilion Bukit Jalil.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, Milolo mencatatkan hasil sebanyak RM11.33 juta, meningkat 68.35% berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pembukaan beberapa cawangan baharu.
Keuntungan selepas cukai kumpulan turut meningkat kepada RM1.82 juta berbanding RM0.09 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Pengarah Urusan Milolo, Datuk Millan Lee berkata penyenaraian ini merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat membangunkan platform IP mainan kreatif bersepadu yang merangkumi aspek peruncitan, pembangunan IP, pengkomersialan serta pelesenan.
“Selain memperkukuh profil dan keterlihatan kumpulan, penyenaraian ini turut membuka akses kepada pasaran modal bagi tujuan pengumpulan dana pada masa hadapan, sekali gus meningkatkan keupayaan kami untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu.
“Kami juga melihatnya sebagai langkah strategik ke arah penyenaraian di pasaran yang lebih tinggi di Bursa Malaysia pada masa akan datang,” katanya. - DagangNews.com








