KUALA LUMPUR 30 Jun - Usaha Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (MILDEF) untuk memasarkan kenderaan tempur buatan Malaysia ke pasaran antarabangsa terus menunjukkan perkembangan positif.
Kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) Ribat dipertaruhkan sebagai produk awal bagi peningkatan kerjasama industri pertahanan MILDEF dan rakan serantau, PT Pindad dari Indonesia.
Pada LIMA 2025 lalu, MILDEF dan PT Pindad telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pembangunan dan pemasaran bersama kenderaan tempur 4x4 dan 6x6 di Indonesia dan Malaysia.
Menerusi MoU tersebut kenderaan HMLTV Ribat akan menjadi model bagi peningkatan kerjasama pertahanan termasuk menembusi pasaran serantau.


Ketika ini memang ada keperluan beberapa angkatan tentera negara serantau untuk mendapatkan kenderaan seperti HMLTV.
Sebagai kenderaan buatan negara Asia Tenggara, ia memberi kelebihan kerana dibangunkan mengikut kesesuaian muka bumi selain geografi negara tropika.
Ribat merupakan kesinambungan kepada kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) Tarantula yang diperkenalkan MILDEF pada 2 April 2021.
MILDEF pula baru-baru ini memenangi kontrak bagi pembekalan 136 unit HMAV Tarantula kepada Tentera Darat Malaysia bernilai RM1.8 bilion.

Sepertimana diketahui, PT Pindad merupakan pendahulu dalam industri pertahanan di Indonesia termasuk membina kereta kebal, kenderaan perisai dan persenjataan.
Sehubungan itu, kerjasama antara MILDEF dan PT Pindad akan memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak apabila berkongsi kepakaran yang dimiliki.
MILDEF pada 11 hingga 14 Jun lalu telah menyertai Indo Defence 2024, iaitu pameran pertahanan terbesar di rantau ini yang berlangsung di JIEXPO Kemayoran, Jakarta.
Penyertaan syarikat Malaysia itu mendapat perhatian meluas hasil pameran produk taktikal tempatan dan siri pertemuan berprofil tinggi.
Ruang pameran MILDEF yang mempamerkan kenderaan HMLTV Ribat turut menarik perhatian pengunjung khususnya dalam kalangan pegawai tentera Indonesia.

Ini juga menonjolkan menyerlahkan keupayaan jurutera Malaysia menghasilkan kenderaan perisai yang menepati kehendak operasi sebenar.
Dalam pada itu, fasiliti MILDEF di Sendayan, Negeri Sembilan telah menerima lawatan delegasi Lembaga Ketahanan Nasional (Lemhannas) Republik Indonesia.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif diplomasi pertahanan dan pertukaran pandangan strategik antara dua negara.


Delegasi Lemhannas diberi taklimat terperinci mengenai keupayaan MILDEF dalam bidang reka bentuk, pembangunan dan pengeluaran kenderaan perisai tempatan.
Turut diadakan ialah demonstrasi produk serta lawatan ke galeri pameran dan barisan pemasangan menampilkan model-model utama seperti Tarantula HMAV, RIBAT HMLTV serta projek inovatif Rolling Chassis. - DagangNews.com







