MIHAS 2025 catat jualan naik 40.7% kepada RM6.05 bilion, tarik 50,000 pelawat - Matrade | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIHAS 2025 catat jualan naik 40.7% kepada RM6.05 bilion, tarik 50,000 pelawat - Matrade

Foto ihsan Matrade
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Okt – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 mencatatkan rekod jualan keseluruhan tertinggi mencecah RM6.05 bilion, naik 40.7% berbanding RM4.3 bilion pada 2024.


Acara yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 17 hingga 20 September 2025 itu turut menarik lebih 50,000 pelawat dagangan daripada 107 negara. 


Program tahunan yang memasuki edisi ke-21 itu dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) serta dihoskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
 

Kejayaan ini menjadikan MIHAS 2025 antara platform perdagangan halal terbesar di dunia menampilkan 2,400 reruai merangkumi 14 kluster halal utama dengan bertemakan 'Pinnacle of Halal Excellence'. 


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan acara itu membuktikan Malaysia berupaya dalam usaha menerajui ekonomi halal global.


“Pencapaian ini bukan sekadar mencatat angka, tetapi menggambarkan Malaysia sebagai hab halal yang berdaya saing, inklusif dan mampan di peringkat dunia,” katanya dalam satu kenyataan Matrade.


Perkembangan positif tersebut juga kata beliau, adalah sejajar dengan hala tuju kerajaan sendiri menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Induk Industri Halal 2030.


Sementara itu, Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula berkata, MIHAS 2025 meneguhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk utama menembusi pasaran halal antarabangsa.


Beliau juga bersyukur apabila acara kali ini berjaya melepasi sasaran jualan RM4.5 bilion, selain mengatasi edisi tahun sebelumnya dengan hanya 45,000 orang pengunjung dan sejumlah 2,028 reruai.

 

MIHAS
FOTO ihsan Matrade


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz menekankan MIHAS kini menjadi pelan tindakan membentuk masa depan ekonomi halal melalui banyak platform.


Antara pencapaian utama kali ini ialah Program Pengekalan Pembeli Antarabangsa (INSP) diperkuatkan dengan platform Madani Digital Trade (MDT) berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI).


"Program ini menghasilkan RM3.63 bilion potensi nilai perdagangan melalui lebih 4,000 sesi padanan perniagaan, yang disertai 600 pengeksport tempatan dan 300 pembeli antarabangsa," jelas Matrade.


Selain itu, Program Pembeli Dihoskan (HBP) turut menjana kira-kira RM530 juta jualan dengan tumpuan kepada sektor makanan dan minuman halal, mesin, bahan ramuan, pembungkusan serta kosmetik.


MIHAS 2025 turut menampilkan Hab Pengetahuan menonjolkan wacana pensijilan halal, pendigitalan dan kemampanan, di samping penganjuran Anugerah MIHAS 2025 yang mengiktiraf 14 syarikat cemerlang.


Dengan kejayaan luar biasa ini, MIHAS sekali lagi membuktikan Malaysia bukan sahaja peneraju pasaran halal, tetapi pemangkin perdagangan global berteraskan nilai mampan Islam. - DagangNews.com