MIH Megatrends 2025 tutup tirai, gariskan hala tuju kukuh sistem kesihatan masa hadapan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIH Megatrends 2025 tutup tirai, gariskan hala tuju kukuh sistem kesihatan masa hadapan

MAJLIS penutup persidangan Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025 disempurnakan Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Suriani Ahmad (depan tengah).
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 NovMalaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025 melabuhkan tirai selepas tiga hari berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang bermula 25 November 2025.


Ia menggariskan hala tuju negara dalam usaha menyelaras teknologi, reformasi sistem dan model penjagaan secara inklusif serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan pada masa hadapan.


Persidangan tersebut turut memperdalam kefahaman praktikal tentang peranan kecerdasan buatan dalam menyokong keputusan klinikal, potensi integrasi digital dalam meningkatkan kesinambungan penjagaan.


"Program ini menekankan keperluan pendekatan lestari dalam memperkukuh daya tahan sistem kesihatan jangka panjang," kata KPJ Healthcare Berhad selaku penganjur bersama-sama Kementerian Kesihatan.

 

MIH
CHIN Keat Chyuan (kiri) bersama Pasukan Pengurusan Kanan Chin KPJ Healthcare Berhad melawat reruai para penaja MIH Megatrends 2025.


Hasil perbincangan dalam pelbagai sesi memberi gambaran lebih jelas kepada pemimpin dan pengamal kesihatan mengenai cara menangani kompleksiti dan keperluan pesakit yang semakin berkembang.


Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan dalam kenyataan tersebut berkata, MIH Megatrends 2025 memberi hala tuju bermakna untuk fasa seterusnya pembangunan sistem kesihatan.


Acara tahunan berkenaan jelas beliau, menegaskan keperluan untuk semua pihak membangunkan sistem kesihatan yang bukan sahaja responsif kepada keperluan semasa, tetapi berdaya tahan jangka panjang.


"Melalui KPJ Health System, kami memacu integrasi amalan klinikal, pendidikan dan penyelidikan meningkatkan mutu penjagaan dan melahirkan bakat kesihatan menyokong ekosistem mampan,” katanya.

 

MIH
CHIN Keat Chyuan (tengah) menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan pembangunan tenaga kerja di Arab Saudi


Acara itu menghimpunkan pembuat dasar, profesional kesihatan, akademia dan pemimpin industri untuk membincangkan keutamaan kesihatan awam, kelestarian, penyakit tidak berjangkit dan transformasi.


Majlis penutupan disempurnakan dengan penyampaian anugerah oleh Ketua Setiausaha KKM, Datuk Sri Suriani Ahmad bersama Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Datuk Sri Dr Ismail Bakar.


Ia diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan menerusi MIH Scientific Poster Competition dan KRAFT Challenge 2025, dengan KPJ Healthcare turut mengumumkan Program Fellowship Klinikal ASEAN 2026.

 

MIH
SURIANI Ahmad (tengah) melancarkan Program KPJ ASEAN Clinical Fellowship 2026 disaksikan Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dr Ismail Bakar (kiri) dan Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Prof Emeritus Datuk Dr Lokman Saim.


Usaha terbaharu berkenaan bakal menyediakan pendedahan klinikal berstruktur kepada doktor rantau Asia Tenggara dalam bidang khusus yang terpilih melalui penempatan klinikal secara bimbingan.


Selain itu, tiga Memorandum Persefahaman dimeterai, termasuk kerjasama dengan FJR Mediterranean Healthcare Investment Group dalam operasi perkhidmatan steril dan dialisis di Arab Saudi.


"Tidak ketinggalan ialah kerjasama antara KPJ Healthcare University dan Elite Academy dalam aspek latihan serta penyelidikan pembangunan untuk bakat kesihatan," jelas kenyataan tersebut lagi.


MIH Megatrends 2025 berakhir dengan penekanan jelas terhadap kemajuan praktikal dan kesiapsiagaan sistem, sekali gus memperkukuh arah Malaysia menuju ekosistem kesihatan teguh masa depan. - DagangNews.com