MIFC mahu pengurusan harta patuh syariah dijadikan komponen ekosistem kewangan Islam di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIFC mahu pengurusan harta patuh syariah dijadikan komponen ekosistem kewangan Islam di Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 April — Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) berhasrat menjadikan perkhidmatan pengurusan harta secara patuh syariah di Malaysia sebagai komponen utama dalam ekosistem kewangan Islam semasa. 


Pengerusinya, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, langkah tersebut adalah amat wajar dan sudah tiba masa aspek perancangan harta pusaka berdasarkan prinsip syarak dapat dimasukkan dalam rangka kerja sistem kewangan Islam tempatan.


Beliau merujuk kisah kejayaan Wasiyyah Shoppe Berhad mengharungi perjalanan panjang sejak 2004 selaku pelopor industri berkenaan di negara ini sehingga mencetuskan kesedaran umat Islam berhubung kepentingan terhadap isu faraid.

 

"Saya memberi jaminan bahawa pihak MIFC sendiri akan melihat potensi bagaimana usaha perancangan harta secara patuh syariah ini boleh diperkukuhkan lagi dan dijadikan antara perkara penting sistem kewangan Islam di Malaysia," katanya. 

 

wasiyyah
AZMAN Mokhtar (tengah) bergambar dengan Rosyam Nor (dua dari kiri) pada peluncuran penjenamaan baharu Wasiyyah di Shah Alam hari ini. - DagangNews.com/Mohd Naim Firdaus Aziz

 

Beliau berucap demikian sebelum merasmikan penjenamaan baharu Wasiyyah selaras penjenamaan semula dan penstrukturan korporat serta pengumuman pelantikan pelakon yang juga usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor sebagai duta sulung syarikat itu.


Turut hadir pada acara berkenaan di Hotel Concorde, Shah Alam itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Wasiyyah, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman, serta Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin.


Mengulas lanjut, Azman berkata, dengan nilai harta pusaka tertunggak di Malaysia lebih RM90 bilion, kes-kes yang menyebabkan perbalahan keluarga semakin kronik serta lebih mencabar kerana portfolio aset amat rumit dan rencam.


Justeru, pencapaian Wasiyyah dalam perkhidmatan tersebut lebih dua dekad lalu sehingga berjaya melonjakkan imej Malaysia menjadi hab perancangan harta secara patuh syariah terkemuka di dunia wajar dijadikan contoh rujukan.

 

wasiyyah
AZMAN Mokhtar ketika berucap sebelum meluncurkan penjenamaan baharu Wasiyyah di Shah Alam hari ini. - DagangNews.com/Mohd Naim Firdaus Aziz

 

Beliau yang mengikuti rapat perkembangan Wasiyyah turut berbangga apabla melihat pencapaiannya ketika ini merekodkan lebih 100,000 individu Muslim menggunakan perkhidmatannya dan melibatkan nilai aset dalam pewarisan lebih RM45 bilion. 


"Di Malaysia tidak banyak badan profesional milik bumiputera yang bukan sahaja bertahan malah meningkat prestasi saban tahun terutama dalam industri ini. Tahniah diucapkan kepada Wasiyyah atas usaha tanpa mengenal penat lelah," katanya.


"Saya berbangga dengan Wasiyyah terutamanya usaha pendigitalan dan penerokaan pasaran luar. Jika sebelum ini, Malaysia dikenali sebagai hab kewangan Islam dunia, melalui Wasiyyah, saya yakin kita menjadi hab perancangan harta syariah global," katanya.


Sehubungan itu, Azman percaya peluncuran penjenamaan baharu Wasiyyah dengan imej yang lebih segar dan menarik adalah satu langkah strategik serta dapat mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju industri tersebut dalam pasaran tempatan. - DagangNews.com