MIDA catat potensi pelaburan hijau RM7.3 bilion sepanjang IGEM 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDA catat potensi pelaburan hijau RM7.3 bilion sepanjang IGEM 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Okt – Malaysia berjaya memperoleh potensi pelaburan hijau berjumlah RM7.3 bilion sempena Pameran serta Persidangan Produk Ekoteknologi dan Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2025.


Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), ia diraih menerusi 38 sesi padanan yang melibatkan syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE), pengendali pusat data dan pengilang lestari.


Inisiatif padanan perniagaan yang berimpak tinggi ini dilaksanakan di bawah program Biz Bridge, anjuran bersama MIDA serta Persatuan Industri Fotovoltaik dan Tenaga Mampan Malaysia (MPIA).


Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, kejayaan ini membuktikan keyakinan pelabur global terhadap Malaysia dalam peralihan tenaga bersih serantau.


“Potensi pelaburan ini mencerminkan kepercayaan terhadap ekosistem industri RE negara yang bukan sahaja memberi nilai kepada pelabur, malah menyumbang kepada kemakmuran menyeluruh," katanya.


Pada masa sama jelas beliau, perkembangan tersebut menunjukkan firma dunia mula mengakui komitmen tinggi Malaysia dalam merealisasikan aspirasi sifar bersih menjadi pertumbuhan positif bersih.


IGEM diadakan dari 15 hingga 17 Oktober 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang dilaporkan berjaya menerima kira-kira 50,000 pengunjung berdaftar dan mencatatkan penyertaan daripada 50 negara.


Selain itu, MIDA turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malayan Banking Berhad (Maybank) bagi memperluaskan kerjasama dalam pembiayaan hijau serta promosi pelaburan mampan.


Kerjasama strategik itu menyasarkan untuk menarik pelaburan berkualiti selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).


"Aliran masuk pelaburan sepanjang IGEM ini turut mencerminkan peningkatan minat pelabur terhadap tenaga bersih, sejajar dengan keperluan pengilang dan pusat data," kata Sikh Shamsul Ibrahim.


Tambahnya, banyak syarikat luar menunjukkan minat meneroka peluang rumusan rendah karbon serta sumber RE yang memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). - DagangNews.com