Microsoft perluas rantau awan di Johor Bahru, pacu permintaan transformasi AI di Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Microsoft perluas rantau awan di Johor Bahru, pacu permintaan transformasi AI di Asia Tenggara

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 NovMicrosoft membuka rantau awan baharu dikenali sebagai Southeast Asia 3 (Asia Tenggara 3) yang beroperasi di Johor Bahru, Johor bagi memenuhi permintaan amat tinggi di ASEAN.


Menurut syarikat tersebut, langkah strategik itu juga merupakan sebahagian usaha memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam ekonomi digital dan transformasi kecerdasan buatan (AI) di rantau ini.


Usaha itu jelasnya, turut menampung perkhidmatan awan dan menyokong pertumbuhan ekonomi serantau jangka panjang selain meningkatkan imej Malaysia sebagai hab digital utama di Asia Tenggara.


Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Komersial Microsoft, Judson Althoff berkata, pelaburan baharu itu mencerminkan komitmen syarikat berkenaan dalam membantu agenda kerajaan Malaysia sendiri.


"Kami berharap pembukaan rantau awan ini menyokong sektor perniagaan tempatan mempercepatkan perjalanan transformasi AI secara bertanggungjawab di Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan.


Rantau Asia Tenggara 3 menjadi sebahagian daripada lebih 70 rantau awan global Microsoft Azure, dan melengkapi rantau Malaysia Barat yang sudah dilancarkan pada 28 Mei 2025 di Kuala Lumpur.


Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap komuniti tempatan, Microsoft turut memperkenalkan pelbagai inisiatif di Johor Bahru, antaranya ialah menerusi Program Asasi Pusat Data Skills2Work.


Ia bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan The Asia Foundation bagi melatih 150 siswazah dalam bidang pengurusan pusat data, manakala Program Keusahawanan Sosial juga dirancang.


"Aktiviti ini bersama UNDP Malaysia dan BPEN Johor memperkasakan 10,000 penduduk setempat, selain penggunaan biobahan api boleh diperbaharui untuk mengurangkan jejak karbon," kata kenyataan itu.

 

Artikel berkaitan: Microsoft lancar rantau awan pertama Malaysia, bakal jana RM51.6 bilion dan 37,000 peluang pekerjaan menjelang 2028

 

Microsoft juga tambahnya, merancang projek bekalan air bersih melibatkan sejumlah 42 sekolah Johor serta pemuliharaan hutan bakau bersama-sama WWF Malaysia dan Belia Prihatin dalam masa terdekat.


Di samping itu, ia memperkukuh usaha pembangunan tenaga kerja melalui inisiatif AIForMYFuture, yang menyasarkan 800,000 rakyat Malaysia dilatih dengan kemahiran AI menjelang akhir 2025.


Dalam pada itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si berkata, pembangunan rantau awan baharu ini menunjukkan komitmen syarikat tersebut dalam menyediakan perkhidmatan awan selamat.


"Kami memberi jaminan yang sistem digunakan turut berdaya tahan dan boleh diberi skala, sekali gus memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi berdasarkan teknologi AI," jelasnya dalam kenyataan itu.


Inisiatif ini turut menyokong pelaksanaan BINA AI Malaysia dilancarkan Mei 2025, termasuk Pusat Inovasi AI Negara (NAIC) dibangunkan bersama pelbagai pihak termasuk Pusat Kepimpinan PETRONAS


Usaha itu tambahnya, mempercepatkan adaptasi rumusan AI di seluruh sektor, di samping menyokong tahap literasi kewangan dan perancangan persaraan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 


Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo menyifatkan pembangunan rantau baharu ini menunjukkan kemajuan Malaysia dalam ekonomi digital dan keyakinan Microsoft terhadap negara.


"Kami berbesar hati bekerjasama dengan industri sebagai rakan teknologi diyakini untuk membina kepimpinan Malaysia sebagai lokasi aset digital selamat dan boleh dipercayai," katanya. - DagangNews.com