microLEAP percepat usaha pembiayaan alternatif selepas salur RM125 juta untuk PKS pada 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

microLEAP percepat usaha pembiayaan alternatif selepas salur RM125 juta untuk PKS pada 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Jan - microLEAP, satu daripada sembilan platform pembiayaan P2P berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang turut serta dalam skim pembiayaan alternatif Sarana yang baru dilancarkan, sedang mempergiatkan usaha selepas menyalurkan RM125 juta dalam sokongan pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) pada 2024.

 

Dengan jumlah berkenaan yang mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 101%, impak microLEAP terhadap landskap PKS di Malaysia tidak dapat dinafikan.

 

Menduduki tangga teratas dalam Indikator Pembangunan Kewangan Islam 2024 (IFDI), microLEAP memainkan peranan penting dalam memajukan matlamat ekonomi dan pembiayaan Islam negara. 

 

Pada tahun 2024, sebanyak 207 daripada 208 nota pelaburan yang diterbitkan oleh microLEAP adalah sepenuhnya mematuhi syariah, menekankan komitmennya untuk mempromosikan rumusan pembiayaan yang beretika, mampan dan telus.

 

Melalui skim pembiayaan Sarana, microLEAP menyediakan pilihan pembiayaan yang lebih cepat dan fleksibel seperti pembiayaan invois dan pembiayaan pra-kontrak, membolehkan perniagaan memenuhi keperluan modal kerja mereka dengan lebih berkesan. 

 

Berbeza dengan institusi kewangan tradisional yang sering mengenakan syarat ketat, microLEAP menggunakan teknologi untuk memudahkan akses kepada modal, memastikan segmen yang kurang mendapat perhatian turut berpeluang berkembang maju.

 

Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, pembiayaan alternatif memainkan peranan penting dalam membina daya tahan sektor PKS negara.

 

"PKS merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, tetapi ramai yang masih berdepan halangan untuk mendapatkan modal yang diperlukan bagi berkembang. 

 

"Platform seperti microLEAP bukan sekadar mengisi jurang, tetapi turut mengubah cara perniagaan mendapatkan pembiayaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, melalui rumusan dalam talian yang mematuhi syariah, pihaknya sedang membentuk ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan memacu pertumbuhan mampan.

 

"Dengan skim Sarana, kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan, kami juga memperkasa perniagaan untuk berkembang, meningkatkan skala dan bersaing dalam persekitaran yang semakin mencabar. 

 

"Pembiayaan invois khususnya, menjadi pengubah permainan bagi PKS dan kontraktor. Ia menukarkan invois belum terbayar menjadi aliran tunai segera, memastikan mereka mempunyai modal kerja untuk memenuhi kontrak, membayar pembekal dan merebut peluang baharu," ujarnya.

 

Sebagai satu-satunya platform pembiayaan P2P dengan pejabat di Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Perak, microLEAP memastikan PKS di seluruh Malaysia dapat mengakses pembiayaan yang sesuai dengan keperluan tanpa mengira lokasi. 

 

Jejak strategik itu penting untuk memajukan inklusi kewangan, terutama di kawasan luar bandar di mana perniagaan sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan.

 

Pendekatan inovatif microLEAP dibina atas asas pengurusan risiko yang kukuh, memberikan keyakinan kepada peminjam dan pelabur. 

 

Platform tersebut mencapai kadar kegagalan hanya 0.63% pada tahun 2024, penambahbaikan sebanyak 41.1% berbanding tahun 2023, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai platform yang boleh dipercayai. 

 

Dalam masa yang sama, keyakinan pelabur meningkat dengan lonjakan 61.2% dalam jumlah pelabur baharu yang menyertai platform berkenaan pada tahun lalu.

 

Dengan Pelan Lima Tahun SC: Catalysing MSME and MTC Access to the Capital Market (2024-2028) yang menyediakan rangka kerja jelas untuk pertumbuhan industri, microLEAP berada dalam kedudukan yang baik untuk memacu gelombang inovasi seterusnya dalam pembiayaan Islam dan konvensional. 

 

Dengan merapatkan jurang antara PKS yang kurang mendapat perhatian dan pelabur, microLEAP memastikan Malaysia terus menerajui arena kewangan Islam global sambil merangsang aktiviti ekonomi di seluruh negara. - DagangNews.com