KUALA LUMPUR 17 April – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menyeru penyelarasan lebih erat antara kerajaan dan industri susulan peningkatan risiko terhadap laluan maritim strategik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global.
Presiden MICCI, Christina Tee berkata pihaknya sedang memantau rapat perkembangan di sekitar Bab el-Mandeb, iaitu laluan penting perkapalan yang menghubungkan Asia dengan Eropah melalui Terusan Suez.
“Pada masa sama, ketidaktentuan di rantau berkenaan turut dipengaruhi oleh perkembangan keselamatan di Selat Hormuz yang kekal sebagai laluan utama eksport tenaga dunia.
“Sebarang gangguan terhadap kedua-dua laluan itu bukan sahaja memberi kesan kepada perdagangan serantau, tetapi turut menjejaskan aliran logistik global secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun perdagangan Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) hanya merangkumi kira-kira 7.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara setakat Januari 2026, impaknya tetap signifikan dari sudut rantaian bekalan.
Ini kerana gangguan laluan berkenaan boleh menyebabkan kekurangan kapasiti kapal, peningkatan kos tambang pengangkutan serta ketidaktentuan dalam jadual penghantaran.
MICCI menjelaskan, sektor yang paling terdedah termasuk elektrik dan elektronik (E&E), pembuatan, komoditi serta produk berkaitan petroleum yang mempunyai hubungan dagangan langsung dengan pasaran Eropah.

Pengalihan laluan kapal melalui laluan alternatif seperti Tanjung Harapan di Afrika Selatan juga dijangka menambah tempoh perjalanan sekitar 10 hingga 14 hari.
Situasi ini memaksa syarikat menilai semula perancangan pengeluaran, pengurusan inventori serta komitmen penghantaran bagi mengelakkan gangguan operasi.
Beliau berkata terdapat tanda-tanda peningkatan kadar tambang pengangkutan dan premium insurans yang memberi tekanan kepada kos perniagaan.
“Kesan kenaikan tersebut berbeza mengikut industri, namun ia tetap menjejaskan margin keuntungan serta aliran tunai syarikat.
“Walaupun sebahagian kos boleh diserap dalam jangka pendek, keadaan berterusan boleh menyebabkan pemindahan kos kepada pengguna tidak dapat dielakkan.
“Sehubungan itu, MICCI menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dan tepat pada masanya antara kerajaan dan pihak industri bagi membolehkan perancangan yang lebih berkesan,” katanya.
MICCI turut mencadangkan pendekatan lebih terselaras dan berasaskan data dalam menilai kesan ekonomi serta mengenal pasti komoditi utama yang terjejas, termasuk tenaga, makanan dan input industri.- DagangNews.com








