Mi Technovation diyakini untung RM100 juta FY25 setelah bendung kerugian tukaran asing - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mi Technovation diyakini untung RM100 juta FY25 setelah bendung kerugian tukaran asing - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 NovMi Technovation Berhad dijangka berupaya menembusi paras keuntungan RM100 juta bagi tahun kewangan 2025 (FY25) selepas berjaya mengurangkan kesan tukaran asing.


Menurut Public Investment Bank, prestasi kumpulan itu dinilai sebagai memberangsangkan, dengan untung teras pada tempoh sembilan bulan pertama (9MFY25) melonjak 35.3% tahun ke tahun (YoY).


Firma penyelidikan tersebut menambah, situasi itu menyaksikan ia untung sebanyak RM87.7 juta, setelah menolak kesan kerugian akibat tukaran asing bersih yang mencecah kira-kira RM18.6 juta.


"Keputusan ini malah mengatasi jangkaan awal, merangkumi 98% daripada anggaran setahun penuh kami sendiri dan 101.1% unjuran konsensus pasaran," jelas firma berkenaan dalam notanya hari ini.


Susulan prestasi yang lebih kukuh daripada diramal kata PublicInvest, unjuran pendapatan sesaham (EPS) untuk Mi Technovation dari tempoh FY25 hingga FY27 dinaikkan antara kira-kira 11% dan 15%.


Berdasarkan perkembangan tersebut, ia mengekalkan saranan 'outperform' dengan nilai sasaran baharu RM4.05, setelah syarikat itu mengumumkan dividen 2 sen, menjadikan keseluruhan 3 sen setakat ini.


Untuk tempoh 3QFY25, pendapatan kumpulan itu meningkat 68% YoY, dipacu oleh segmen-segmen utama, antaranya Semiconductor Equipment Business Unit (SEBU) merekodkan lonjakan jualan hampir dua kali.


"Segmen ini mencatatkan RM123 juta, disokong permintaan tinggi mesin Mi Series Die Sorter, manakala Semiconductor Material Business Unit (SMBU) pula naik 34.1% YoY kepada RM73.6 juta," katanya.


Situasi peningkatan tersebut jelas PublicInvest, ditunjangi oleh faktor permintaan yang lebih kukuh bagi produk 'solder balls' untuk pelbagai kegunaan sektor mobiliti, wearables, HPC dan memori.


Untung teras suku itu melonjak ke paras rekod RM36.5 juta, jauh mengatasi RM22.3 juta pada tempoh sama tahun lalu, dipacu pemulihan ketara SEBU dan keuntungan SMBU bertambah 30.4% kepada RM18 juta.


"Bagaimanapun, segmen System Solutions Business Unit (SSBU) terus mencatat kerugian apabila jatuh RM5.4 juta berikutan perbelanjaan tinggi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D)," jelasnya.


Pengurusan Mi Technovation katanya, menjangkakan SEBU mengekalkan pertumbuhan dua angka untuk tahun penuh, manakala SMBU diunjur terus kukuh didorong permintaan aloi khas dalam aplikasi mobiliti.


SSBU pula jelasnya, sudah menyiapkan modul pertama barisan pengeluaran dalaman di China sebagai langkah awal memasuki pasaran rumusan cekap tenaga sektor automotif dan industri. - DagangNews.com