KUALA LUMPUR 27 Okt - MGB Berhad menerusi MGB Construction & Engineering Sdn Bhd menerima kontrak RM118.5 juta daripada Uda Accord Development Sdn Bhd bagi pembinaan rumah mampu milik, Fasa 2 Residensi Wilayah di Jalan Jubilee, Kuala Lumpur.
Kumpulan itu berkata, kontrak itu melibatkan pembinaan satu blok kediaman setinggi 45 tingkat (702 unit kediaman), satu blok tempat letak kereta setinggi tujuh tingkat, satu tingkat rasa kemudahan di aras tujuh dan satu pondok pengawal.
"Kontrak itu akan bermula pada 13 November 2025 selama 30 bulan dan dijangka siap pada 12 Mei 2028," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Katanya, kontrak terbaharu itu menungkatkan jumlah keseluruhan buku tempahan tertunggak kumpulan bernilai sekitar RM1.25 bilion.
Kontrak itu tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham terbitan syarikat, namun dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan.
Kumpulan itu berkata, tiada pengarah, pemegang saham utama, ketua pegawai eksekutif syarikat atau mana-mana individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak berkenaan.- DagangNews.com








