MGB dapat kontrak RM200 juta bina asrama pekerja di Bukit Minyak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MGB dapat kontrak RM200 juta bina asrama pekerja di Bukit Minyak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 April – MGB Berhad memperoleh kontrak bernilai RM200.74 juta daripada Lien Dak Builders Sdn. Bhd untuk membina asrama pekerja di  Bukit Minyak 8, Pulau Pinang bagi pihak Urban Pinnacle Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MGB berkata anak syarikat milik penuhnya, MGB Construction & Engineering Sdn. Bhd akan melaksanakan projek itu yang dibahagikan kepada dua fasa utama.

 

“Fasa pertama melibatkan pembinaan sebuah asrama pekerja 19 tingkat dengan 408 unit, sebuah bangunan fasiliti 4 tingkat dengan parkir di aras bawah tanah, sebuah depot sisa, bilik pam, dan dua pondok pengawal di pintu masuk dan keluar.

 

“Fasa kedua pula merangkumi sebuah asrama pekerja 18 tingkat dengan 358 unit serta sebuah bangunan utiliti untuk menyokong keperluan penghuni asrama.

 

“Tempoh kontrak ditetapkan selama 24 bulan, termasuk 21 bulan untuk menyiapkan kerja utama dan tambahan tiga bulan bagi menyiapkan kerja tertunda, ujian, dokumentasi, dan mendapatkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC),” kata MGB dalam makluman tersebut.

 

Dengan kontrak terbaharu itu, buku tempahan MGB Berhad kini meningkat kepada kira-kira RM1.29 bilion, menandakan pertumbuhan berterusan dalam aktiviti pembinaan syarikat.

 

Penerimaan kontrak ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan aset bersih per saham MGB serta kumpulan syarikatnya sepanjang tempoh kontrak.

 

Syarikat menegaskan kontrak ini tidak menjejaskan modal saham terbitan MGB dan tiada pengarah, pemegang saham utama, ketua pegawai eksekutif atau individu berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek tersebut.

 

MGB Berhad menyatakan penerimaan kontrak ini mencerminkan keyakinan pihak pemaju terhadap kemampuan syarikat dalam menyiapkan projek berskala besar mengikut standard profesional dan masa yang ditetapkan.

 

Projek ini dijangka menambah lagi reputasi MGB sebagai kontraktor utama dalam pembangunan asrama pekerja berskala besar di Pulau Pinang.- DagangNews.com