KUALA LUMPUR 17 Sept – Industri emas serantau melakar sejarah apabila Persatuan Emas Malaysia (MGA) menjalin kerjasama dengan Lao Bullion Bank (LBB) dan Gold Jewelry and Gem Association of Laos (LGA).
Ia hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) secara tiga hala bersama menjadikan kerjasama rentas sempadan yang pertama seumpamanya antara Malaysia dan Laos.
Majlis diadakan sempena Festival Emas Laos 2025 yang julung kali di Vientiane dari 5 hingga 7 September 2025, disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.
MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden MGA, Datuk Seri Louis Ng; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LBB, Souphaphone Souannayong dan Presiden LGA, Phouvong Phamisith.

"Pemeteraian berkenaan sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuhkan pasaran emas ASEAN di peringkat global," kata MGA menerusi satu kenyataan hari ini.
Kerjasama ini turut memanfaatkan kekuatan Malaysia sebagai hab pembuatan dan pengeksport barang kemas terkemuka dunia, serta kedudukan Laos yang semakin menyerlah sebagai pusat perdagangan emas dan bullion serantau.
Antara manfaat strategik yang bakal digarap termasuklah perdagangan dua hala dalam sektor logam berharga, perkongsian pengetahuan dan teknologi, pembangunan bersama pasaran emas ASEAN, serta pemerkasaan piawaian tadbir urus dan kelestarian industri.
Malaysia memiliki antara ekosistem emas paling lengkap di rantau ASEAN dengan permintaan domestik sekitar 50 tan setahun, pengeluaran barang kemas sebanyak 40 tan, serta rangkaian eksport yang meliputi pasaran global.

"Keistimewaan Malaysia terletak pada dasar cukai yang mesra emas, termasuk pengecualian cukai import dan eksport bagi bullion dan barang kemas, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara paling kompetitif untuk perdagangan emas antarabangsa," katanya.
Selain itu, MGA kini sedang bekerjasama dengan World Gold Council (WGC) untuk melancarkan Rangka Kerja Amalan Terbaik Malaysia bagi memperkukuh amalan sumber bertanggungjawab dan tadbir urus terbaik dalam industri.
Semasa kunjungan empat hari ke Laos, delegasi MGA turut mengadakan kunjungan hormat ke atas beberapa kementerian penting termasuk Kementerian Perdagangan, Teknologi dan Komunikasi, Kewangan serta Jabatan Geologi dan Perlombongan Laos.
Perbincangan dengan penggubal dasar dan pemimpin industri tempatan telah membuka peluang kerjasama dalam infrastruktur pasaran emas Laos, pematuhan piawaian antarabangsa, serta laluan baharu eksport-import antara kedua-dua negara.

Menurut Louis, gabungan ekosistem emas Malaysia yang mapan dengan potensi besar Laos sebagai hab baharu emas ASEAN akan mengangkat rantau ini sebagai kuasa baharu dalam perdagangan emas global.
“Ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Laos, malah menjadi pencetus kepada penyatuan pasaran emas ASEAN yang lebih bersepadu, beretika dan mampan**,” jelas beliau ketika ucapan perasmian Festival Emas Laos 2025.
MGA, LBB, dan LGA berada di landasan kukuh untuk membina satu platform perdagangan emas ASEAN yang inklusif, berdaya saing dan berimpak global, berpaksikan nilai ketelusan dan pertumbuhan bersama. - DagangNews.com








