KUALA LUMPUR 30 Dis – Metronic Global Berhad mendedahkan sebanyak RM51.701 juta daripada dana diraih melalui Terbitan Hak dengan Waran (RIWW) masih belum digunakan setakat akhir Disember 2025.
Syarikat itu menyatakan yang sebahagian besar baki tersebut melibatkan peruntukan projek solar berjumlah RM56 juta, namun hanya kira-kira RM4.299 juta yang sudah dibelanjakan sehingga ini.
Katanya, projek solar di Kedah dengan anggaran kos RM12 juta kini berada pada tahap kemajuan 80% tetapi terhenti disebabkan terdapat beberapa isu kontrak yang belum selesai dengan pelanggan.
"Kelewatan juga berpunca akibat peletakan jawatan jurutera dan kakitangan utama, dengan masih sukar mengenal pasti calon berkelayakan menguruskan projek," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Selain itu kata Metronic, semakan semula terma kontrak perlu dilakukan berikutan kenaikan kos pembinaan dan harga peralatan import yang kemudian dikenal pasti menjejaskan kadar tarif semasa.
Berbeza dengan sektor solar, dana sebanyak RM20 juta untuk projek kejuruteraan sudah digunakan sepenuhnya dengan status kemajuan projek berkenaan pula mencecah lebih 90% dan hampir siap.
Bagi menangani isu tersebut, Metronic kini sedang menjalankan kajian strategik untuk menilai semula daya maju model perniagaan solar mereka dari aspek teknikal, ekonomi dan undang-undang.
"Kami juga sedang meneliti penyelesaian secara damai, termasuk kemungkinan untuk menjal1in kerjasama atau penjualan terus projek sedia ada kepada pihak yang berminat," jelas Metronic lagi.
Selain itu tambah kumpulan berkenaan, khidmat profesional undang-undang sudah dilantik bagi melindungi kepentingan syarikat sekiranya timbul sebarang isu rumit yang melibatkan perundangan.
Justeru, syarikat berkenaan berkata, buat masa ini, baki dana yang belum digunakan untuk projek tersebut ditempatkan sebagai simpanan tetap di Koperasi Maal Nizami Negeri Selangor (Komani).
Jelas Metronic, pelaksanaan RIWW sudah selesai sepenuhnya pada 13 Julai 2022 melalui penyenaraian 1.29 bilion saham hak dan 433.18 juta waran di Pasaran Utama Bursa Securities. - DagangNews.com








