Metro Healthcare berhasrat beli RMC Specialist bernilai RM320,000 daripada Dr Tay Swi Peng | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Metro Healthcare berhasrat beli RMC Specialist bernilai RM320,000 daripada Dr Tay Swi Peng

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 JanMetro Healthcare Berhad akan mendapatkan kelulusan majoriti pemegang saham berhubung cadangan pengambilalihan 100% kepentingan ekuiti dalam RMC Specialist Sdn Bhd.


Susulan hasrat pemerolehan itu, kumpulan penjagaan kesihatan tempatan tersebut dijangka mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Hotel Premiera, Klang, Selangor pada 4 Februari 2026.


Katanya, nilai transaksi pengambilalihan melibatkan 100,000 saham biasa dalam RMC Specialist dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM320,000 yang akan diselesaikan sepenuhnya melalui kaedah tunai.


"Kesemua saham syarikat tersebut akan diambil alih daripada individu yang bernama Dr Tay Swi Peng @ Tee Swi Peng," kata Metro Healthcare dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Cadangan pembelian tersebut tambahnya, bagaimanapun tertakluk kepada syarat-syarat dalam Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) yang bertarikh 23 Oktober 2025 serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.


Menurut notis syarikat itu, EGM yang diadakan turut membentangkan resolusi biasa bagi memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk memuktamadkan transaksi dan melaksanakan segala tindakan perlu.


Sehubungan itu, bagi menentukan kelayakan ahli untuk hadir dan seterusnya mengundi usul tersebut, kumpulan berkenaan menetapkan tarikh Rekod Pendeposit kepada pemegang saham pada 23 Januari 2026.


"Hanya ahli yang namanya tertera dalam rekod pada tarikh tersebut sahaja yang layak mengambil bahagian dalam EGM itu bagi menyempurnakan pengambilalihan tersebut," tambah Metro Healthcare.


Bagaimanapun ahli yang tidak dapat hadir boleh melantik proksi untuk hadir dan mengundi bagi pihak mereka, dengan borang proksi mestilah dihantar dalam bentuk fizikal ke Pejabat Pendaftar Saham.


Selain itu jelasnya, pemegang saham berkenaan turut boleh menghantar dokumen tersebut melalui cara elektronik selewat-lewatnya dalam tempoh 48 jam sebelum mesyuarat khas itu berlangsung.


Di samping itu, Metro Healthcare juga memaklumkan tiada pemberian hadiah disediakan untuk ahli atau proksi yang hadir, namun jamuan ringan akan dihidangkan di lokasi EGM. - DagangNews.com