KUALA LUMPUR 18 Feb — Meta Bright Group Berhad mengembangkan operasinya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui melalui kerjasama (JVC) dengan United Success Holding Pte Ltd dan Yang Lei untuk menubuhkan Meta Bright Solutions Sdn Bhd.
Usaha sama strategik bakal membolehkan ia membangunkan dan mengendalikan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian kecekapan tenaga (EE) meliputi seluruh rantau Asia Tenggara.
Menurut makluman difailkan kepada Bursa Malaysia, Meta Bright Energy Sdn Bhd (MB Energy), anak syarikat milik penuhnya akan memegang 55 peratus dalam JVC itu manakala United Success dan Yang Lei masing-masing 10 peratus dan 35 peratus.
"Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang bertujuan untuk meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor tenaga boleh diperbaharui kepada RM220 bilion menjelang 2050," tambahnya.
Ia juga katanya, bakal mengurangkan pelepasan karbon sektor tenaga sebanyak 32 peratus. Meta Bright berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan permintaan semakin bertambah bagi infrastruktur pengecasan BESS EV dan penyelesaian EE.
Langkah itu selaras dengan usaha kerajaan melalui Belanjawan 2025 memperuntukan RM300 juta untuk tenaga boleh diperbaharui bagi Malaysia dapat mempercepatkan pemodenan grid, inisiatif kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga berkenaan.
Malah jelas Meta Bright, untuk mengukuhkan keupayaan teknologinya, pemeteraian JVC itu turut melibatkan perjanjian sokongan teknikal eksklusif dengan YTKJ Group yang disokong oleh Ningbo Urban Construction Investment Holding Co Ltd.
Ia salah satu pemaju infrastruktur bandar yang disokong kerajaan China, serta berupaya mengukuhkan asas teknologi dan kewangan JV yang kukuh kerana kerjasama YTKJ dengan Ningbo Joyson menghasilkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Ningbo Joyson ialah syarikat tersenarai awam di Bursa Shanghai serta peneraju global dalam produk elektronik automotif, sistem keselamatan dan penyelesaian mobiliti pintar, dengan kehadiran kukuh dalam aplikasi tenaga baharu," jelasnya.
Selain BESS, ia juga menghasilkan produk pengecasan EV dan JVC dimeterai itu memperkuatkan lagi peranannya dalam ekosistem tenaga mampan selain menyumbang secara aktif kepada pengembangan infrastruktur pengecasan EV Malaysia.
Bahkan, syarikat itu akan membangunkan dan membekalkan peralatan bagi stesen pengecasan pintar berkelajuan tinggi, memastikan rangkaian pengecasan yang lancar dan cekap tenaga yang sekali gus mempromosikan penggunaan meluas EV.
Penyepaduan BESS dengan stesen pengecasan akan mengoptimumkan lagi penyimpanan tenaga dan menggalakkan ekosistem tenaga yang lebih mampan meletakkan Meta Bright di barisan hadapan sektor peralihan tenaga bersih untuk Malaysia. - DagangNews.com








