Meta Bright jual lot kedai di Kota Kinabalu bernilai RM3.47 juta kepada CCF Development | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meta Bright jual lot kedai di Kota Kinabalu bernilai RM3.47 juta kepada CCF Development

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Jan - Meta Bright Group Berhad melupuskan satu unit lot kedai kosong di Damai Suites, Kota Kinabalu, Sabah dengan nilai pertimbangan yang dipersetujui sebanyak RM3.469 juta.


Kumpulan tersebut berkata, transaksi berkenaan dilaksanakan oleh subsidiari milik penuhnya, FBO Land (Setapak) Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan CCF Development Sdn Bhd.


Pelupusan itu tambahnya, merupakan sebahagian daripada strategi pengoptimuman aset dan hartanah kumpulan, dengan pembeli tersebut merupakan anak tidak langsung milik 70% Meta Bright sendiri.


"Urus niaga penjualan berkenaan menjadikan proses ini sebagai transaksi pihak berkaitan (RPT) berdasarkan Peraturan Penyenaraian Pasaran Utama," maklum kumpulan itu kepada Bursa Malaysia.


Spesifikasi hartanah itu katanya, melibatkan unit bernombor G-2 yang terletak di aras bawah dengan keluasan binaan kira-kira 108 meter persegi dan disasarkan siap sepenuhnya pada suku ketiga 2027.


Projek Damai Suites merupakan pembangunan bercampur yang kini sudahmencapai tahap siap 32.46%, manakala rasional pelupusan itu bertujuan untuk memegang hartanah tersebut bagi kegunaan komersial.


Hasil daripada proses penjualan berkenaan jelas Meta Bright, termasuk potensi pajakan kepada pihak ketiga yang dipercayai bakal memberikan lagi nilai strategik jangka panjang kepada kumpulan.


"Sebanyak RM666,156 daripada jualan akan digunakan untuk kos pembinaan projek Damai Suites, manakala baki diperuntukkan bagi yuran profesional serta keperluan modal kerja," jelasnya.


Syarikat memaklumkan yang harga jualan tersebut dipersetujui secara bersama dengan mengambil kira lokasi hartanah dan keadaan pasaran semasa bagi hartanah komersial yang setanding di Sabah. 


Transaksi pelupusan ini dijangka tidak mempunyai kesan material terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, mahupun pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu bagi tahun kewangan semasa.


Bagaimanapun kata Meta Bright, cadangan transaksi ini dijangka siap hanya dalam tempoh 36 bulan dari tarikh SPA itu dimeterai tertakluk kepada sebarang keadaan. - DagangNews.com