Meta Bright cadang ambil alih 51% pegangan Bumidotearth, fokus teknologi penjimatan kos elektrik bangunan komersial | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meta Bright cadang ambil alih 51% pegangan Bumidotearth, fokus teknologi penjimatan kos elektrik bangunan komersial

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Mei – Meta Bright Group Bhd bercadang mengambil alih 51% pegangan dalam Bumidotearth Sdn Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Meta Bright Energy Sdn. Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata melalui pengambilalihan itu, Bumidotearth akan menjadi sebahagian daripada kumpulan secara bersepadu, khususnya dalam keupayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi projek kecekapan tenaga.

 

“Pengambilalihan itu juga mengubah peranan Meta Bright daripada sekadar pelabur dalam aset tenaga kepada penyedia penyelesaian tenaga secara menyeluruh termasuk pelaksanaan, operasi dan pemantauan sistem penjimatan tenaga bangunan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bumidotearth ketika ini terlibat dalam penyelesaian pengoptimuman sistem HVAC melalui teknologi Dynamic Control Drive (DCD) serta platform pemantauan berasaskan Internet Pelbagai Benda (IoT) dikenali sebagai Enerlytics.

 

Teknologi tersebut digunakan bagi mengawal operasi sistem penghawa dingin secara lebih efisien berdasarkan beban penggunaan sebenar bangunan, dengan sasaran mengurangkan penggunaan elektrik dalam operasi komersial berskala besar.

 

Meta Bright berkata keberkesanan teknologi itu telah diuji melalui projek perintis kontrak prestasi tenaga tanpa kos modal awal di dua pusat beli-belah milik sebuah rangkaian peruncit.

 

“Berdasarkan pelaksanaan tersebut, sistem HVAC mencatatkan penjimatan tenaga antara 40.63% hingga 80.58% bergantung kepada keadaan operasi dan profil beban di setiap lokasi.

 

“Penjimatan itu turut diterjemahkan kepada pengurangan kos bulanan kira-kira RM26,000 dengan anggaran tempoh pulangan modal sekitar 2.2 tahun,” katanya.

 

Meta Bright berkata model pelaksanaan itu membolehkan pelanggan menggunakan sistem tanpa perlu melabur modal besar di peringkat awal, sebaliknya kos dibayar melalui penjimatan tenaga yang dijana.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perancangan Korporat dan Strategik Meta Bright Group Bhd, Derek Phang Kiew Lim berkata integrasi Bumidotearth akan mempercepatkan peluasan penyelesaian kecekapan tenaga kumpulan ke seluruh negara.

 

“Peningkatan kos tenaga elektrik ketika ini mendorong permintaan lebih tinggi terhadap sistem pengurusan tenaga yang lebih efisien dalam sektor komersial dan institusi,” katanya.

 

Ketika ini, Bumidotearth mempunyai 10 projek aktif bernilai RM4.1 juta yang melibatkan pelbagai lokasi termasuk pusat beli-belah, hospital, hotel dan premis runcit.

 

Selain itu, syarikat tersebut turut memiliki saluran projek yang dikenal pasti melebihi RM50 juta dengan sasaran pelanggan dalam kalangan institusi besar dan pengendali bangunan komersial utama.

 

Meta Bright berkata pengambilalihan ini turut disertakan jaminan keuntungan selepas cukai (PAT) terkumpul sebanyak RM1.5 juta bagi tempoh tiga tahun, bersamaan purata RM500,000 setahun.

 

Berdasarkan jaminan itu, transaksi tersebut dianggarkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tersirat sekitar 4.0 kali, yang disifatkan kumpulan sebagai penilaian yang kompetitif berdasarkan prestasi operasi semasa.

 

Syarikat berkata selepas pengambilalihan ini, ia akan memberi tumpuan kepada pengembangan penggunaan teknologi pengoptimuman HVAC dan sistem pemantauan digital dalam sektor hartanah komersial, hospitaliti, kesihatan serta institusi pendidikan. - DagangNews.com