Mesiniaga raih kontrak RM19.8 juta sewaan ICT sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mesiniaga raih kontrak RM19.8 juta sewaan ICT sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di Sarawak

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 DisMesiniaga Berhad meraih Surat Setuju Terima daripada Kementerian Pendidikan bagi menyediakan perkhidmatan sewaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Sarawak.


Menurut kumpulan penyedia rumusan teknologi itu, tender terbaharu berkenaan untuk keperluan pengajaran dan pembelajaran di makmal komputer sekolah-sekolah di kawasan utara negeri tersebut.


Kontrak berkenaan melibatkan Fasa 4 perkhidmatan sewaan komputer riba, pencetak berwarna pelbagai fungsi, projektor dan troli pengecasan secara sewa guna bagi tempoh 65 bulan, meliputi Zon 7.


"Nilai kontrak tersebut berjumlah RM19.82 juta, namun belum lagi termasuk cukai jualan dan cukai perkhidmatan (CJCP)," jelas Mesiniaga dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Kumpulan berkenaan memaklumkan yang kontrak tersebut berkuat kuasa dari 1 Januari 2026 hingga 31 Mei 2031, dengan tidak mengandungi sebarang klausa pembaharuan secara automatik selepas tamat.


Ia menambah, pelbagai risiko utama tender tersebut adalah berkaitan dengan isu pematuhan tahap perkhidmatan serta tempoh garis masa yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan sendiri.


Bagaimanapun katanya, pengurusan Mesiniaga telah pun bersedia dengan mengambil langkah-langkah mitigasi yang sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan proses penyewaan itu berjalan lancar.


Selain itu, pihak Lembaga Pengarah syarikat tersebut berpandangan yang kontrak berkenaan adalah masih lagi dalam urusan perniagaan biasa dan turut selaras dengan kepentingan terbaik kumpulan. 


"Kami mengesahkan yang tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut," tambah syarikat itu.


Dari segi kewangan, tender berkenaan tidak memberi kesan kepada modal saham atau pegangan pemegang saham utama, namun dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan.


Hasil perolehan daripada kontrak tersebut dapat dilihat dalam laporan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 sehingga tamat tempoh kontrak. - DagangNews.com