KUALA LUMPUR 26 Nov — Mercury Securities memulakan liputan ke atas Nextgreen Global Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran 89 sen, disandarkan 11 kali nisbah harga kepada pendapatan FY26.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut juga adalah selari dengan rekod purata selama lima tahun dicatatkan sebahagian besar syarikat serantau dalam industri baja, pulpa dan pembungkusan.
Ia menyifatkan kumpulan itu sebagai peneraju tempatan dalam segmen 'sisa-ke-nilai' berasas sawit, secara jangka panjang melalui perluasan pasaran dan pembangunan teknologi hijau bernilai tinggi.
"Kami menegaskan kelebihan strategik Nextgreen melalui Green Technology Park (GTP) di Pahang seluas 166 hektar yang berfungsi sebagai kompleks bersepadu pertama di Malaysia," kata Mercury Securities.
Penguasaan rantaian bekalan tandan kosong sawit (EFB) serta kecekapan logistik memberi asas kukuh kepada model ekonomi kitaran syarikat yang turut memeterai kerjasama pembangunan GTP di Sabah.
Kekuatan kumpulan itu katanya, turut disokong teknologi terkini, proses kimia dan mekanikal yang mengubah EFB kepada pulpa bermutu tinggi bagi kertas dan pembungkusan tanpa bergantung serat kayu.
Model sifar sisa ini kata Mercury Securities, membolehkan kitar semula haba dan bahan kimia yang meraih manfaat apabila piawaian global semakin ketat serta permintaan bahan tidak berasaskan kayu.
"Dari segi prestasi kewangan, Nextgreen merekodkan margin bersih 34% pada FY24, jauh mengatasi purata rakan serantau cuma 6% hasil kecekapan operasi serta produk baja bernilai tinggi," katanya.
Tambahnya, fasa 1A loji pulpa 10,000 tan setahun sudah siap, manakala loji baja pepejal 30,000 tan pula hampir siap dan fasiliti baja cecair automasi dijadualkan akan mampu beroperasi pada 4Q25.
Syarikat juga kata Mercury Securities, menubuhkan usaha sama dengan Xiamen C&D membangunkan loji pulpa bebas sisa pertama berskala besar di Malaysia berkapasiti 150,000 tahun setahun pada 2027.
Ia menjangka hasil Nextgreen berkembang 17% hingga 144% antara FY25 hingga FY27, dipacu peningkatan pengeluaran pulpa serta komitmen bekalan baja kepada para pelanggan antarabangsa dan domestik.
"Margin keuntungan pula dijangka mengembang melebihi 100% pada FY26 sebelum kembali normal kepada 28% menjelang FY27, namun kami turut memberi amaran terhadap beberapa risiko utama," jelasnya.
Ini termasuk kelewatan pelaksanaan GTP, risiko pembiayaan dan ketegangan geopolitik yang menjejaskan eksport, tetapi syarikat berada pada kedudukan kukuh untuk menjadi pemain utama. - DagangNews.com








