KUALA LUMPUR 6 Nov – Merchantrade Asia Sdn Bhd memperluaskan langkah strategik perniagaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas memperoleh kelulusan rasmi sebagai 'ATM Acquirer.
Syarikat perkhidmatan kewangan bukan bank tersebut berkata, ia melibatkan sasaran lebih 1,000 lokasi baharu melalui kerjasama tempoh jangka panjang bersama Visa dan Safeguards Corporation.
Menurutnya, perkembangan positif berkenaan menyasarkan kawasan kurang liputan perbankan, termasuk komuniti luar bandar dan pekerja asing, bagi meningkatkan kebolehcapaian tunai seluruh Malaysia.
"Rangkaian ATM Merchantrade menggunakan strategi dua hala iaitu melalui Visa Sponsor BIN, yang membolehkan lebih 1,000 ATM Safeguards menerima semua kad Visa," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kemudahan tersebut menggunakan model Brown Label ATM, menjadikan Merchantrade sebagai pengendali pertama di Malaysia dengan penjenamaan Merchantrade dan sokongan platform Visa.
Jelas syarikat berkenaan, fasa awal menyaksikan pemasangan sejumlah 12 mesin ATM di beberapa lokasi Merchantrade yang terpilih, dengan sasaran sebanyak 200 mesin lagi dalam fasa seterusnya.
Katanya, ATM berjenama Merchantrade membolehkan transaksi pengeluaran dan deposit wang tunai melalui MEPS serta turut menerima semua jenis kad Visa termasuk kad prabayar Merchantrade Money.

"Langkah terbaharu ini juga memudahkan para peniaga kecil dan pengguna yang memiliki kad berkenaan untuk dapat menguruskan aliran tunai mereka tanpa perlu bersusah payah pergi ke bank," katanya.
Sementara itu, Pengasas yang juga Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran berkata, strategi ini membuktikan komitmen syarikat memperluas capaian akses kewangan kepada semua lapisan.
Ia bukan sekadar menambah jumlah ATM, tetapi membuka landskap kewangan agar ramai lagi, termasuk pekerja asing dan usahawan kecil mengakses dengan selamat di kawasan mereka tinggal dan bekerja.
Dalam pada itu, Pengurus Negara Visa Malaysia, Previn Pillay menekankan peranan ATM sebagai titik sentuhan penting kepada urus niaga pembayaran secara digital, terutamanya di kawasan luar bandar.
"Kami menyokong keterangkuman kewangan untuk komuniti tempatan, bagi memastikan semua orang ada akses boleh dipercayai kepada dana yang diperlukan, disokong kekuatan rangkaian Visa,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Safeguards, Darmendran Kunaretnam pula menyifatkan kerjasama tiga pihak ini mengukuhkan kehadiran ATM bukan bank bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan.
Langkah ini mengukuhkan kedudukan Merchantrade sebagai peneraju perkhidmatan kewangan bukan bank dan memperluas akses tunai selamat dan mudah di seluruh negara. - DagangNews.com








