KUALA LUMPUR 6 Mac - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing telah melupuskan keseluruhan pegangan sahamnya dalam Timberwell Berhad selepas menerima tawaran pengambilalihan yang dibuat oleh pemegang saham terbesar syarikat itu, Wong Wai Foo.
Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia, King Sing menjual sebanyak 14.2 juta saham yang mewakili hampir 16% kepentingan dalam syarikat berkenaan pada harga tawaran 90 sen sesaham, menjadikan nilai transaksi tersebut sekitar RM12.8 juta.
Ahli Parlimen Bintulu itu yang sebelum ini merupakan pengarah urusan Timberwell Berhad selama hampir enam tahun sebelum meletakkan jawatan pada 3 Januari 2023 selepas dilantik ke dalam Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas Timberwell Berhad memaklumkan bahawa tawaran pengambilalihan mandatori oleh Wai Foo telah menjadi tanpa syarat, selepas beliau bersama pihak yang bertindak secara bersama (PAC) menguasai 54.95% kepentingan dalam syarikat tersebut, melepasi ambang 50%.
Tawaran pengambilalihan pada harga 90 sen sesaham itu dicetuskan pada Januari lalu selepas Wai Foo muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar syarikat.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Timberwell Berhad di Bursa Malaysia.
Syarikat yang berpangkalan di Sabah itu menjalankan aktiviti penuaian kayu serta pemulihan kawasan hutan yang melibatkan rawatan silvikultur dan penanaman kayu secara mozek. Ia juga memiliki 59.17% kepentingan dalam Timberwell Plywood Sdn Bhd.
Dari segi prestasi kewangan, kumpulan itu mencatat kerugian selama tiga tahun berturut-turut dari FY2023 hingga FY2025. Bagi FY2025, Timberwell Berhad merekodkan kerugian bersih sebanyak RM644,000 dengan hasil berjumlah RM14.34 juta.
Pada rehat tengah hari dagangan Jumaat, saham Timberwell Berhad meningkat setengah sen kepada 89.5 sen, menjadikan permodalan pasarannya sekitar RM79.7 juta. - DagangNews.com








