Menteri Besar Johor promosi JS-SEZ kepada pelabur China di Shanghai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Menteri Besar Johor promosi JS-SEZ kepada pelabur China di Shanghai

ONN Hafiz Ghazi (tengah) menerima cenderamata daripada John Chong (kiri) sambil disaksikan Hasni Mohammad (kanan) di Shanghai, China. - Foto ihsan Maybank
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 DisMaybank menjadi tuan rumah kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama delegasi kerajaan negeri dalam satu siri penglibatan strategik di Shanghai, China.


Menurutnya, usaha terbaharu itu bertujuan mempromosikan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) kepada pelabur negara berkenaan serta melancarkan inisiatif dikenali sebagai Friends of Johor.


Lawatan itu dianjurkan bersama Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China, Pejabat Shanghai (MayCham China, Shanghai).


"Delegasi juga mengadakan lawatan ke beberapa firma berteknologi tinggi, termasuk pengeluar robot humanoid kegunaan industri, Shanghai Agibot Technology Co Ltd," kata Maybank dalam kenyataan.


Mereka turut meninjau pengeluar bateri generasi baharu, Gotion High-Tech Co Ltd, sebagai antara sebahagian daripada program, selain mengadakan sesi libat urus bersama 30 pelanggan bank tersebut.


Delegasi kerajaan Johor disertai Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Hasni Mohammad; serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.


Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Datuk Noorazam Osman; dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Johor, Natazha Harris.


"Rombongan ini terdiri syarikat milik kerajaan dan swasta dari pelbagai sektor seperti pembinaan, prasarana data, peralihan tenaga, teknologi kewangan (fintech), logistik dan robotik," katanya.


Perbincangan jelas Maybank, turut memberi tumpuan kepada dasar, insentif serta peluang pelaburan berpotensi dalam 11 sektor keutamaan JS-SEZ termasuk pembuatan, ekonomi digital dan ekonomi hijau.


Dalam lawatan itu, Onn Hafiz melancarkan secara rasmi inisiatif Friends of Johor, bagi memperkukuh hubungan serta penglibatan jangka panjang dengan pemimpin perniagaan dan pelabur global di China. 


MayCham China, Shanghai diumumkan sebagai ahli sulung, diikuti dengan penyertaan lapan pemimpin perniagaan, dan menurutnya, JS-SEZ merupakan langkah penting dalam transformasi ekonomi Johor.


"Usaha itu mengukuhkan integrasi rentas sempadan bersama Singapura serta meletakkan Johor sendiri sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi dan berdaya saing di peringkat global," jelas beliau.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Global Maybank Datuk John Chong berkata JS-SEZ berpotensi menjadi pintu masuk strategik syarikat-syarikat China mempelbagaikan operasi.


Zon tersebut katanya, berupaya mengembangkan operasi mereka di rantau ASEAN, disokong oleh rangkaian Maybank di 10 daripada 11 negara ASEAN serta kehadiran kukuh di Johor dan Singapura. - DagangNews.com