Menang kontrak pusat data dalam tempoh kurang sebulan bukti keyakinan pelanggan terhadap keupayaan MN Holdings – Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Menang kontrak pusat data dalam tempoh kurang sebulan bukti keyakinan pelanggan terhadap keupayaan MN Holdings – Phillip Capital

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 April – MN Holdings Bhd mencatat satu lagi kejayaan apabila memperoleh kontrak pusat data bernilai RM276 juta dalam tempoh kurang daripada sebulan daripada proses tender hingga kelulusan kontrak, kata Philip Capital.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia  mencerminkan tahap kecekapan pelaksanaan MN Holdings dalam beberapa projek sebelum ini dan membuktikan keyakinan pelanggan terhadap syarikat.

 

Kontrak tersebut diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn Bhd (MNUESB), bagi kerja-kerja reka bentuk, pembekalan, pemasangan, pengujian, pentauliahan serta penyelenggaraan sistem 275kV stesen pendaratan kabel (CLS) untuk sebuah pusat data di Negeri Sembilan.

 

Projek berkenaan telah bermula pada April 2026 dan dijadualkan dilaksanakan secara berfasa sebelum siap sepenuhnya pada Jun 2027.

 

Menurut Philip Capital, kontrak itu dijangka memberi sumbangan kepada pendapatan kumpulan, dengan anggaran margin keuntungan selepas cukai (PAT) sekitar 10%, bersamaan kira-kira RM28 juta keuntungan, dengan majoriti pengiktirafan pendapatan dijangka berlaku pada separuh pertama FY27.

 

“Dengan kontrak terbaharu ini, jumlah perolehan kontrak MN Holdings bagi FY26 meningkat kepada kira-kira RM1.1 bilion, melepasi jangkaan awal kami sebanyak RM900 juta atau sekitar 125% daripada sasaran penambahan kontrak tahun kewangan tersebut.

 

“Ini menjadikan buku tempahan tertunggak kumpulan meningkat kepada sekitar RM1.6 bilion, dengan kira-kira 70% daripadanya disumbangkan oleh projek berkaitan pusat data, sekali gus memberi keterlihatan pendapatan yang kukuh sehingga FY27,” kata Philip Capital dalam nota kajiannya.

 

Syarikat turut merekodkan kejayaan memperoleh pelanggan pusat data baharu melalui kontrak ini, yang dilihat sebagai langkah penting dalam mempelbagaikan asas pelanggan selain pelanggan sedia ada.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MN Holdings menang tender RM275.89 juta bina stesen penerimaan 275kV pusat data

 

Tempoh proses daripada tender kepada anugerah kontrak yang kurang daripada sebulan turut dilihat sebagai indikator positif terhadap reputasi MN Holdings dalam segmen CLS serta keupayaan teknikal dan pelaksanaan projek.

 

Daripada sudut portfolio perniagaan, buku tender kumpulan kekal kukuh pada sekitar RM2.6 bilion, dengan sumbangan utama datang daripada projek berkaitan Tenaga Nasional Bhd (56%), diikuti pusat data (14%), solar (14%), air dan pembetungan (2%), saluran paip gas (1%) serta lain-lain segmen (13%).

 

Philip Capital berkata struktur pendapatan syarikat kini semakin dipacu oleh sektor pusat data yang pesat berkembang, selain sokongan daripada projek infrastruktur tenaga dan utiliti.

 

Walaupun momentum perolehan kontrak dilihat kukuh, unjuran pendapatan tidak berubah kerana pengiktirafan hasil utama dijangka berlaku secara berperingkat sehingga FY27, dengan prestasi kewangan FY26 hingga FY28 menunjukkan pertumbuhan stabil.

 

Dari segi kewangan, MN Holdings mencatat pertumbuhan hasil daripada RM256.2 juta pada FY24 kepada unjuran RM883.3 juta pada FY26E, sebelum meningkat kepada RM1.29 bilion pada FY28E, dengan keuntungan bersih diunjur meningkat kepada RM116.8 juta menjelang FY28E.

 

Margin keuntungan bersih pula dijangka stabil sekitar 9% hingga 12%, manakala pulangan ekuiti (ROE) diunjur kekal kukuh antara 22% hingga hampir 40% dalam tempoh unjuran, mencerminkan kecekapan operasi yang tinggi.

 

Dari segi penilaian, kaunter ini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sekitar 15.7 kali bagi FY26E, dengan saranan kekal Beli dan harga sasaran 12 bulan tidak berubah pada RM2.59, berdasarkan gandaan 20 kali EPS CY26.

 

Philip Capital turut mengekalkan pandangan positif terhadap MN Holdings sebagai proksi kepada pertumbuhan infrastruktur tenaga Malaysia, khususnya dalam sektor pusat data dan tenaga solar yang semakin berkembang, walaupun risiko utama termasuk kelewatan projek, kenaikan kos dan kelembapan perolehan kontrak baharu. - DagangNews.com