KUALA LUMPUR 22 April — Pelaksanaan mekanisme subsidi petrol yang baharu dikhuatiri memperlahankan peralihan kepada pembelian kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan, menurut Kenanga Research.
Jika berlaku ujar firma penyelidikan itu, pengguna berpendapatan sederhana dan rendah dijangka kurang berminat untuk beralih daripada kenderaan jenis enjin bahan api pembakaran dalaman (ICE) sedia ada.
Katanya, walaupun kerajaan menawarkan pelbagai insentif termasuk pengecualian cukai bagi EV pemasangan tempatan (CKD) sehingga 2027, faktor kos bahan api disubsidi mengurangkan dorongan itu.
“Peralihan kepada EV hanya secara beransur-ansur, dengan permintaan kenderaan petrol mencapai kemuncak dalam jangka panjang, bukan tempoh lima tahun yang terdekat,” kata Kenanga dalam nota.
Jelasnya, penggunaan EV namun menunjukkan peningkatan, dengan pendaftaran naik bermula cuma 274 unit pada 2021 kepada sebanyak 44,800 unit pada 2025, atau 5.5% daripada jumlah volum industri (TIV).
Kerajaan tambah firma berkenaan, menyasarkan pembelian EV termasuk model hibrid akan merangkumi 20% daripada keseluruhan jualan kenderaan baharu menjelang 2030 sebelum mencecah 80% pada 2050.

Sehubungan itu kata Kenanga, tumpuan kepada aspek pembangunan ekosistem seperti penyediaan 10,000 stesen pengecas awam serta insentif pengeluaran model tempatan dilaksanakan secara berperingkat.
"Kami menjangkakan segmen mampu milik terus mendominasi pasaran, dengan pengeluar nasional seperti Perodua dan Proton masih mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran automotif," ujarnya lagi.
Kedua-dua jenama tersebut jelas firma berkenaan, dianggarkan mampu terus menguasai sekitar 65% TIV bagi sepanjang tahun ini, disokong permintaan kukuh serta pelancaran model baharu yang kompetitif.
Sebaliknya tambah Kenanga, jenama bukan nasional kekal tertumpu kepada segmen harga yang lebih tinggi, kebiasaannya melebihi RM100,000, sekali gus mengehadkan daya saing dalam pasaran luas.
Secara keseluruhan, sektor automotif terus tertekan pada 2026 berikutan jualan yang diunjur lebih rendah berbanding 2025 dan peningkatan kos operasi meskipun diimbangi faktor pengukuhan nilai ringgit.
"Justeru kami berpandangan insentif cukai dan pembangunan infrastruktur akan menyokong pertumbuhan EV, namun kadar penerimaan mungkin perlahan daripada jangkaan," katanya. - DagangNews.com








