KUALA LUMPUR 21 Nov - Mega First Corporation Berhad melaporkan keputusan 3Q25 terus bercampur, dengan kerugian berterusan daripada usaha sama (JV) Edenor masih membebani keuntungan kumpulan.
Menurut penganalisis, hasil tenaga boleh diperbaharui (RE) dan perniagaan pembungkusan menunjukkan peningkatan bermusim, tetapi mereka memberi penilaian berbeza untuk prestasi dan prospek syarikat.
Maybank Investment Bank mengekalkan saranan 'beli', tetapi menurunkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM5.20 daripada RM5.40 berikutan kedudukan pada 9M25 yang di bawah jangkaan firma tersebut.
"Kekurangan prestasi Mega First disebabkan kerugian masih besar melibatkan JV daripada Edenor dan pendapatan sumber semula jadi yang lebih rendah daripada jangkaan," kata firma itu dalam notanya.
Ketiadaan pengumuman dividen jelasnya, adalah konsisten dengan amalan terdahulu, dan tiada kaitan isu keuntungan bersih dicatatkan pada 3QFY25 yang susut 9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM119 juta.
Bagaimanapun kata Maybank IB, pendapatan kasar RE meningkat secara sukuan (QoQ) selaras musim hujan tinggi di Don Sahong, dengan tenaga dijana 18% lebih tinggi QoQ dan ketersediaan naik kepada 93.8%.
Perolehan segmen pembungkusan pula turut meningkat seiring jualan lebih kukuh, manakala sumber pendapatan sebelum cukai dan kepentingan (EBIT) menurun disebabkan kos tinggi dan jualan rendah.
"Justeru, kami menurunkan anggaran FY25 hingga FY27 bagi mencerminkan prestasi Edenor dan sumber lebih lemah, tetapi dividen dijangka meningkat sedikit, menyokong hasil sekitar 3.0%," katanya.
Sementara itu, Public Investment Bank menekankan cabaran kos dan kerugian JV Edenor, tetapi firma penyelidikan tersebut kekal positif dengan saranan 'outperform' dan TP masih RM5.39 sesaham.
Katanya, keuntungan teras Mega First didapati meningkat 11% YoY apabila dikecualikan item luar biasa, disokong RE yang naik 5.1%, dan pembungkusan (+9.4%), tetapi sumber pula jatuh 59% YoY.
Kerugian JV Edenor namun meningkat daripada RM7.7 juta kepada RM13.7 juta, disebabkan pasaran lemah, penggunaan loji rendah, kelemahan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) dan kerugian inventori.
"Kami menilai Don Sahong Hydropower Project dijangka stabil pada 4QFY25 dengan volume tenaga lebih tinggi dan kos kewangan yang rendah, manakala projek solar Maldives tertunda kepada 1Q26," katanya.
PublicInvest turut menilai segmen sumber dan pembungkusan menghadapi tekanan margin, dengan ada strategi syarikat termasuk kepelbagaian pelanggan, penggunaan loji optimum, dan kecekapan operasi.
Sehubungan itu, firma tersebut menekankan nilai pasaran saham Mega First yang lebih rendah untuk menunjukkan potensi pelaburan syarikat secara jangka sederhana. - DagangNews.com








