KUALA LUMPUR 5 Dis – Mega First Corporation Berhad (MFCB) menegaskan komitmen mengukuhkan hasil dengan merebut banyak peluang projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Laos dan Kemboja.
Menurut Public Investment Bank, langkah jangka panjang tersebut dinilai amat bersesuaian meskipun ketika harga saham kumpulan berkenaan mencatatkan penurunan 27.3% setakat tahun ini (YTD).
Firma penyelidikan itu melihat penilaian semasa sebagai terlalu murah, dengan saham syarikat ini diniagakan kurang nisbah harga kepada pendapatan (PER) 7 kali dan di bawah nilai buku RM3.54.
"Berdasarkan perkembangan ini, kami masih mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham MFCB dan harga sasaran tidak berubah RM5.39 berasaskan kaedah penilaian bahagian," jelasnya dalam nota.
PublicInvest menyatakan kebimbangan utama pelabur tertumpu prestasi lemah syarikat usaha sama (JV) Edenor dan nilai ringgit kukuh, kerana keseluruhan hasil segmen RE dalam dolar Amerika Syarikat.
Dua faktor berkenaan katanya, memberi impak langsung terhadap keuntungan kumpulan, manakala usaha syarikat itu merancang baik pulih dua turbin janakuasa di Laos, boleh mengurangkan masa operasi.
Jelas firma tersebut, kerja pertama di stesen Don Sahong itu bermula bulan ini dan satu lagi pada Mac 2026 yang dijangka mengganggu ketersediaan tenaga pada FY26 berbanding jangkaan 82% bagi FY25.
"Setiap aktiviti ini dijangka menelan kos AS$2 juta (RM8.21 juta) dan mengambil masa hingga tiga bulan, manakala mulai 2026, kadar cukai korporat segmen loji itu juga naik," kata PublicInvest.
Peningkatan berkenaan jelasnya, walaupun dilaksanakan oleh kerajaan Laos secara berperingkat, namun bakal menyebabkan kadar cukai efektif dianggarkan boleh mencecah 3.5% bagi segmen RE.
Segmen keselamatan makanan di bawah CSC Agriculture pula katanya, sudah menanam 243 hektar di Tronoh, Perak, sementara 202 hektar lagi di negeri berkenaan masih belum diteruskan syarikat itu.
Fokus kini kata PublicInvest, dialihkan kepada teknologi penanaman, peningkatan kecekapan dan pengukuhan jualan, manakala operasi di Kemboja menyumbang kerugian RM8.5 juta pada tempoh 9MFY25.
"Ini sejajar fasa pembangunan, namun MFCB kekal fokus pertumbuhan jangka panjang melalui RE dan pembungkusan, dengan pengurusan menegaskan tiada perancangan tambahan," katanya. - DagangNews.com








