Mega First dinaik taraf kepada ‘BELI', prospek penilaian semula dipacu pemulihan dolar AS - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mega First dinaik taraf kepada ‘BELI', prospek penilaian semula dipacu pemulihan dolar AS - AmInvest

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 April - Mega First Corporation Bhd (MFCB) dinaik taraf kepada saranan “BELI” daripada “PEGANG” berikutan prospek penilaian semula yang disokong oleh potensi pemulihan usaha sama oleokimia serta pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), kata AmInvestment Bank (AmInvest).

 

Firma penyelidikan itu berkata, faktor negatif seperti kelemahan dolar AS dan prestasi kurang memberangsangkan segmen oleokimia telah diambil kira dalam harga semasa saham.

 

"MFCB ketika ini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) FY27F sebanyak lapan kali, hampir kepada paras terendah lima tahun iaitu enam kali, sekali gus dilihat menarik dari sudut penilaian.

 

“Sejak mencecah paras rendah RM3.89, dolar AS telah meningkat kira-kira 1.5%, yang boleh menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan syarikat,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

AmInvest berkata, bagi usaha sama Edenor Oleo, pihaknya mengambil pendekatan konservatif dengan mengunjurkan bahagian kerugian bersih sebanyak RM60 juta bagi FY27F, tidak berubah berbanding FY26F.

 

Seiring itu, harga sasaran (TP) MFCB dinaikkan kepada RM3.80 sesaham berbanding RM3.56 sebelum ini, berdasarkan gandaan PE 10 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham FY27F, selaras dengan purata lima tahun.

 

Namun, unjuran keuntungan bersih FY27F disemak turun sebanyak 3.1% bagi mengambil kira peningkatan kos operasi dalam segmen pembungkusan dan sumber.

 

Dalam pada itu, MFCB dilihat ketinggalan berbanding saham tenaga boleh baharu (RE) lain, dengan harga sahamnya hanya meningkat 14% daripada paras rendah RM2.72 pada 16 Mac, berbanding syarikat solar yang mencatat kenaikan lebih 20%.

 

Walaupun bukan pemain utama dalam segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar di Malaysia, MFCB mempunyai pendedahan kepada sektor RE melalui loji hidroelektrik Don Sahong di Laos.

 

AmInvest menjangkakan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) bahagian RE merosot kepada RM433.6 juta bagi FY26F berbanding RM517 juta pada FY25, disebabkan kelemahan dolar AS.

 

Bagaimanapun, pengukuhan mata wang itu dijangka memberi impak positif, dengan setiap kenaikan 10 sen dolar AS dianggarkan meningkatkan EBIT bahagian RE sekitar 2%.

 

"Pendapatan loji hidroelektrik itu kekal stabil dan berulang, walaupun suku pertama lazimnya lebih lemah berikutan musim kering serta aktiviti penyelenggaraan turbin," katanya.

 

Sementara itu, segmen pembungkusan dijangka mencatat permintaan lebih tinggi susulan kekurangan bekalan plastik dalam pasaran, manakala segmen sumber masih berdepan tekanan daripada peningkatan kos penghantaran.

 

AmInvest mengunjurkan EBIT segmen sumber meningkat sedikit kepada RM30 juta bagi FY26F, manakala EBIT segmen pembungkusan dijangka berkembang 12% kepada RM35.7 juta. - DagangNews.com