Medella lancar minyak masak gabungan sawit merah dan kelapa pertama buatan Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Medella lancar minyak masak gabungan sawit merah dan kelapa pertama buatan Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Mac — Medella melancarkan minyak masak daripada gabungan minyak sawit merah dan kelapa premium 100 peratus yang pertama seumpamanya di Malaysia.
 

Ketua Pegawai Eksekutif Medella, Edwin Ong berkata, produk Medella Red Palm & Coconut Cooking Oil itu menggabungkan kualiti terbaik dan memberikan pelbagai manfaat kesihatan kerana diproses tanpa bahan kimia bagi memelihara kualiti dan khasiat.
 

Produk terbaharu berkenaan juga ujar beliau, adalah bebas daripada sebarang campuran bahan kimia, pelarut, bahan tambahan dan lemak trans, serta turut disahkan memiliki pensijilan halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sendiri.
 

“Rakyat Malaysia tidak asing lagi terhadap minyak sawit merah dan kelapa, justeru menjelang sambutan Hari Raya, kami berbangga memperkenalkan produk ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Minyak sawit merah jelas beliau, memang terkenal kaya dengan khasiat kandungan zat antioksidan seperti provitamin A, vitamin E, dan karotenoid yang begitu tinggi, serta terbukti dalam menyokong tahap kesihatan jantung dan mata penggunanya. 


Begitu juga minyak kelapa kaya dengan asid lemak yang dikaitkan dengan peningkatan paras kolesterol baik (HDL) dan tahan terhadap pengoksidaan pada suhu tinggi, menjadikannya lebih sesuai bagi segala masakan berhaba tinggi seperti menggoreng.


Justeru kata Edwin, dengan pengguna bijak membuat pilihan pemakanan yang seimbang, langkah itu dapat menyumbang kepada kesihatan lebih baik, bersama dengan penambahbaikan gaya hidup lain seperti kekal aktif dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.


"Ini amat penting memandangkan kadar tinggi penyakit tidak berjangkit di Malaysia seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti. Minyak masak Medella Red Palm & Coconut Cooking Oil adalah pilihan terbaik," jelasnya.


Dengan setiap 15g, ia mengandungi 4.5g Trigliserida Rantaian Sederhana, 3.75mg vitamin E, dan 1.13mg provitamin A yang sesuai bagi pelbagai gaya masakan suhu tinggi, serta aroma neutral dan warna kaya karotenoid berkhasiat semula jadi dalam minyak sawit.
 

Medella, yang merupakan pengeluar minyak masak kelapa pilihan utama di Malaysia, Brunei dan Singapura; telah mengedarkan produk berkenaan yang boleh didapati secara eksklusif di semua pasar raya Jaya Grocer di seluruh negara. - DagangNews.com