KUALA LUMPUR 13 Nov – Nilai, etika dan kawalan kendiri perlu menjadi teras kepada pembangunan ekosistem digital negara, terutama dalam mendepani cabaran baharu seperti ancaman kecerdasan buatan (AI), keselamatan kanak-kanak serta penyebaran maklumat salah.
Timbalan Pengarah Urusan (Regulatori & Korporat) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan transformasi digital negara berjalan dengan selamat, beretika dan berpaksikan nilai kemanusiaan.
Beliau berkata, sebagai badan pengawal selia, peranan MCMC bukan untuk menyekat kebebasan, tetapi memupuk tanggungjawab dan keseimbangan dalam penggunaan teknologi serta komunikasi digital.
“Apabila bercakap tentang kawalan, orang selalu menganggap ia bermaksud sekatan. Namun, dalam konteks etika, kawalan diri atau restraint itu sebenarnya satu kebajikan,” katanya.
"Ia mencerminkan integriti dan tanggungjawab seseorang dalam berkomunikasi secara beretika dan beradab," katanya lagi.
Menurutnya, pendekatan pengawalseliaan selamat yang diamalkan MCMC menekankan prinsip keselamatan, nilai kemanusiaan dan privasi, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebuah masyarakat madani digital yang beradab (civil society).
“Civility requires restraint. Kadangkala MCMC dilihat menyekat kebebasan bersuara, tetapi hakikatnya kami tidak menyekat, kami memperkasa. Kami mendidik masyarakat agar memahami erti sebenar kebebasan dan tanggungjawab dalam ruang digital,” katanya.
Zurkarnain berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebagai panel dalam sesi “Partner Insights” anjuran MCMC bertajuk “Etika dalam Intelijen Pihak Berkepentingan: The Trust Factor – Leading with Integrity and Innovation” sempena Majlis Pelancaran dan Perasmian Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCFMY 2025) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), HRDCorp dan Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) di ibu negara, hari ini.
Beliau turut menegaskan, kepercayaan dan ketelusan merupakan asas utama dalam hubungan antara masyarakat, media dan kerajaan.
“Dalam era maklumat salah dan keyakinan penonton yang semakin menurun, kepercayaan adalah aset paling berharga bagi seorang komunikator. Sesi ini membincangkan bagaimana para pemimpin mengekalkan kredibiliti, ketelusan dan etika sambil menguruskan jangkaan pihak berkepentingan dalam landskap digital yang pesat berubah,” katanya.
Menurut beliau, MCMC kini memberi tumpuan kepada pendekatan peraturan terukur melalui pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian dan Akta Keselamatan Siber, yang memastikan platform media sosial dan sistem digital beroperasi secara bertanggungjawab serta selamat untuk semua pengguna.
Katanya, di bawah inisiatif Sebenarnya.my, teknologi AI kini dimanfaatkan untuk mengesan dan menangkis penyebaran berita palsu secara automatik, manakala di pusat maklumat Omnadi, masyarakat diajar menggunakan teknologi AI untuk meningkatkan kemahiran digital.
“Pendekatan ini bukan hanya mengawal, tetapi memperkasa termasuk mengajar golongan autistik menggunakan AI untuk pembelajaran dan pekerjaan. Namun, kita juga perlu sedar akan risiko seperti ‘AI grooming’, iaitu situasi di mana kanak-kanak berinteraksi dengan sistem AI secara tidak selamat,” katanya.
Zurkarnain memberi contoh kes di Amerika Syarikat yang menunjukkan risiko bahaya AI terhadap remaja apabila seorang kanak-kanak berusia 14 tahun membunuh diri selepas mendapat dorongan daripada sistem AI melalui perbualan dalam talian.
Katanya, kanak-kanak bawah 16 tahun kini dianggap antara golongan paling terdedah kepada bahaya dalam talian, bukan hanya daripada pemangsa manusia tetapi juga sistem AI yang tidak dikawal.
“Gajet bukan pengasuh. Dalam dunia hari ini, ancaman bukan lagi datang dari luar rumah tetapi dari dalam rumah melalui skrin. Tanggungjawab sebenar bermula dengan nilai dan komunikasi dalam keluarga,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan autoritarian mahupun laissez-faire tidak lagi mencukupi, sebaliknya yang penting ialah memupuk nilai dan mencipta ruang komunikasi selamat antara manusia, khususnya dalam keluarga dan komuniti.
Beliau turut menegaskan, MCMC bersikap terbuka terhadap pandangan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuk pengeluar AI dan platform media sosial, bagi membentuk piawaian etika serta kod kandungan yang lebih selamat dan inklusif.
“Kami adalah pembina jambatan digital. Sentiasa terbuka kepada komunikasi, inovasi, pembangunan kod dan perbincangan bersama. Jika kita bergerak secara bersama dan bersepadu, hasilnya pasti lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCFMY 2025) yang bertemakan “Kemanusiaan Diperhebat: Mendefinisi Semula Perhubungan Awam dalam Era Kecerdasan” berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu di Pusat Dagangan Dunia (PWTC).
Acara anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama HRDCorp itu menghimpunkan lebih 800 peserta tempatan dan antarabangsa, termasuk lebih 250 peserta luar negara daripada sektor perhubungan awam, diplomasi, media dan strategi digital. - DagangNews.com








