Kepimpinan ‘My Way’: Antara Kejayaan Organisasi atau Kejatuhan Integriti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kepimpinan ‘My Way’: Antara Kejayaan Organisasi atau Kejatuhan Integriti

Oleh Dr RAZLI RAMLI

Pada 16 Jun lalu, penulis dan para pelajar MBA berpeluang mendengar perkongsian yang luar biasa daripada saudarak Hemizaffuan Badarluddin mengenai topik Balancing High Performance – Ethical Leadership & Organisational Success.

 

Beliau bukanlah seorang ahli teori kepimpinan yang menulis buku pengurusan atau sering muncul di televisyen. Sebaliknya, beliau berkongsi pengalaman sebenar di medan kerja, kadangkala berjaya dan kadangkala tidak, tetapi semuanya demi menambah khazanah ilmu kepimpinan.

 

Falsafah utamanya mudah: “Saya melakukannya dengan cara saya sendiri, bukan cara buku teks.”

 

Pengalaman beliau sangat relevan bagi golongan pengurus peringkat pertengahan (mid-management) yang sering terjepit di antara visi pucuk pimpinan dan realiti operasi harian. Mereka perlu membawa turun mandat strategik sambil memimpin pasukan dengan adil, beretika dan berkesan.


 

AHIBS

 


Dalam konteks ini, lirik lagu My Way nyanyian Frank Sinatra memberikan metafora yang kuat tentang kepimpinan yang autentik, berani dan bertanggungjawab.

 

Legasi dan Makna Kepimpinan

“And now, the end is near…” – Setiap pemimpin akhirnya akan menilai legasi mereka.

 

Hemizaffuan menekankan bahawa kepimpinan bukan sekadar mengejar KPI atau keuntungan suku tahunan. Ia adalah tentang integriti dan impak jangka panjang. Bagi pengurus pertengahan, ini bermakna mereka harus mempunyai visi yang jelas tentang apa yang ingin dicapai, bukan sekadar menurut arahan tanpa pemahaman.

 

“I’ve lived a life that’s full / I traveled each and every highway…” – Beliau mengakui bahawa laluan kepimpinan tidak pernah lurus.

 

Pelbagai rintangan ditempuhi, termasuk kegagalan yang menjadi guru terbaik. Pengurus pertengahan sering berhadapan dengan jalan berliku: sumber terhad, jangkaan yang bercanggah, serta tekanan daripada pihak atasan dan bawahan. Kunci untuk terus maju ialah fleksibiliti dan keberanian untuk mencuba pendekatan yang mungkin tidak tertulis dalam manual HR.

 

Belajar daripada Kesilapan dan Akauntabiliti

“Regrets, I’ve had a few / But then again, too few to mention…” – Kepimpinan tidak lari daripada kesilapan.

 

Hemizaffuan berkongsi beberapa keputusan yang tidak menjadi, namun beliau tidak menyesalinya kerana setiap kesilapan membawa pembelajaran.

 

Bagi pengurus pertengahan, budaya organisasi yang menghukum kesilapan akan membunuh inovasi. Sebaliknya, pemimpin beretika mengakui kesilapan, memperbaiki proses dan melindungi pasukan daripada rasa takut.

 

“I did what I had to do / And saw it through without exemption…” – Inilah intipati akauntabiliti.

 

Pemimpin tidak boleh lari daripada tanggungjawab, sama ada ketika projek berjaya mahupun gagal. Pengurus pertengahan perlu memastikan visi pucuk pimpinan difahami dan dilaksanakan dengan penuh dedikasi, walaupun terpaksa membuat keputusan yang sukar.

 

Peranan Pengurus sebagai Jambatan Organisasi

“I planned each charted course / Each careful step along the byway…” – Perancangan strategik adalah penting, tetapi kepimpinan sebenar berlaku dalam perincian pelaksanaan.

 

Pengurus pertengahan bertindak sebagai jambatan: menterjemahkan strategi besar kepada tindakan kecil yang bermakna. Ini memerlukan kemahiran komunikasi dua hala—menjelaskan visi kepada pasukan dan membawa suara pasukan kembali kepada pimpinan atasan.

 

“Yes, there were times, I’m sure you knew / When I bit off more than I could chew…” – Setiap pemimpin pernah mengambil risiko yang terlalu besar.

 

Hemizaffuan menceritakan detik-detik apabila beliau terlebih janji atau terlalu optimis. Namun, beliau tidak berundur. Sebaliknya, beliau menghadapinya dengan berlapang dada serta bertanggungjawab.

 

Mengurus Keraguan dan Tekanan

“But through it all, when there was doubt / I ate it up and spit it out…” – Keraguan adalah lumrah dalam kepimpinan.

 

Apa yang membezakan pemimpin berjaya ialah kemampuan untuk menghadapi keraguan itu, memprosesnya, dan keluar lebih kuat. Pengurus pertengahan sering berada dalam kedudukan sandwiched leadership—tertekan dari atas dan bawah.

 

Kemahiran mengurus emosi dan membuat keputusan rasional di bawah tekanan adalah kritikal.

 

“I faced it all, and I stood tall / And did it my way.” – Inilah nadi falsafah Hemizaffuan. Beliau tidak meniru gaya pemimpin lain; beliau membina identiti kepimpinan sendiri yang berlandaskan nilai peribadi dan etika.

 

Bagi pengurus pertengahan, ini bermakna mereka perlu menemui “suara” kepimpinan sendiri—autentik, konsisten dan adil.

 

Gaya “my way” bukan bermaksud degil atau tidak mengikut prosedur, tetapi kepimpinan yang berprinsip dan berani tampil berbeza demi kebaikan organisasi.

 

Imbangan Antara Prestasi dan Etika

Penulis yakin pengurus perlu mampu mengimbangi prestasi tinggi dan etika. Cabaran terbesar pengurus pertengahan ialah mengimbangi tuntutan prestasi dengan kelakuan beretika.

 

Tekanan untuk mencapai sasaran sering menggoda pemimpin untuk mengambil jalan pintas yang tidak beretika. Hemizaffuan menegaskan, kejayaan jangka panjang hanya boleh dicapai melalui integriti. Prestasi tinggi yang dibina atas manipulasi data, eksploitasi pekerja atau penipuan akhirnya akan runtuh.

 

Pengurus pertengahan ialah penterjemah visi. Mereka perlu memahami hala tuju organisasi dan menjadikannya relevan kepada pasukan. Ini memerlukan empati serta keberanian untuk memberi maklum balas jujur kepada pimpinan atasan jika sesuatu visi tidak praktikal.

 

Kepimpinan “my way” tidak bermaksud tunduk buta kepada arahan, tetapi melaksanakannya dengan bijaksana dan bertanggungjawab.


 

AHIBS

 


Kepimpinan yang Jujur dan Bermakna

Perkongsian Hemizaffuan Badarluddin memberikan pengajaran berharga buat penulis dan para pelajar.

 

Kepimpinan bukan tentang meniru buku teks, tetapi tentang membina pengalaman, belajar daripada kesilapan dan berpegang kepada prinsip etika.

 

Lirik My Way mengingatkan kita bahawa setiap pemimpin akan menghadapi saat penilaian diri.

 

Bagi pengurus pertengahan, jawapannya terletak pada keberanian untuk melakukan yang betul, bukan yang mudah; keupayaan membawa visi pucuk pimpinan ke realiti dengan empati dan integriti; serta keazaman untuk terus maju walaupun cabaran getir. Itulah definisi sebenar high performance with ethical leadership.

 

Seperti kata beliau, “Saya melakukannya dengan cara saya sendiri.” Dan mungkin, itulah cara yang paling jujur dan bermakna dalam dunia kepimpinan yang penuh cabaran hari ini. - DagangNews.com

 

Artikel ini ditulis berdasarkan webinar bersama Hemizaffuan Badarluddin pada 16 April 2026 untuk kelas MBA di Azman Hashim International Business School, UTM.