Bekas hakim pengerusikan majlis media bukan isu, yang penting tindakannya bila media disekat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas hakim pengerusikan majlis media bukan isu, yang penting tindakannya bila media disekat

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

Minggu lalu, saya membayar yuran pertama sebagai ahli Majlis Media Malaysia.

 

Tidak banyak pun jumlahnya sehingga perlu diumumkan kepada dunia. Saya juga tidak menerima sebarang kad VIP, pas parking khas atau laluan ekspres menuju koloni wartawan kayangan.

 

Lebih 34 tahun dalam industri media, saya sebenarnya malas berpersatuan. Dulu muda-muda pernahlah aktif dengan kesatuan NUJ. Sekarang malas terikat dengan jadual mesyuarat sebab tugas hakiki mengendalikan portal berita DagangNews.com sudah cukup rumit dan memerlukan fokus 100 peratus. Tak fokus, duit tak masuk...

 

Tetapi Majlis Media ini lain sikit daripada persatuan atau kesatuan. Majlis Media berfungsi sebagai `self-regulated organisation’ menyerupai Majlis Peguam di mana jika berlaku pelanggaran tingkah laku, Majlis Media boleh mengenakan tindakan kepada ahli. Apatah lagi penubuhannya adalah lahir dari akta yang khusus iaitu Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868).

 

Bab ini, pada pemahaman saya boleh mengurangkan campur tangan pihak berkuasa terhadap kebebasan media kerana jika marah macam mana pun terhadap sesebuah organisasi media, mereka kena bentangkan kes kepada Majlis Media untuk dibicarakan.

 

Dan orang yang kena tuduh masih boleh tahu apa tuduhan yang dikenakan dan mempertahankan dirinya. Berbanding tindakan drakonian ke atas media sebelum ini apabila akses mereka disekat sewenang-wenangnya hanya disebabkan pemberitaan yang tidak memihak kepada pihak berkuasa tanpa ruang merayu, apatah lagi membahaskan tindakan.

 

Tetapi itu pemahaman peribadi saya. Meneliti satu-satu anggota eksekutif di dalam Majlis Media Malaysia, masih tebal juga wakil kerajaan. Tidak apalah, saya hanya perlu mengingatkan diri sentiasa berwaspada dalam kerja harian.

 

Bukan disebabkan FOMO

Saya menyertai Majlis Media Malaysia bukan atas faktor takut tertinggal LRT. Bukan juga kerana FOMO. Pada tahap ini, saya adalah wartawan jurassic, sudah terlalu tua untuk menyertai sesuatu semata-mata kerana semua orang sedang melakukannya.

 

Saya menyertai majlis media kerana ada rasa tanggungjawab moral kepada kerjaya kewartawanan di Malaysia. (fuyooo...kenapa? Tak percaya?)

 

Kalau selama ini kita mengeluh media terlalu dikawal, terlalu berhati-hati, terlalu mudah akur kepada kuasa, maka apabila ruang untuk membina sebuah institusi kawal selia kendiri akhirnya muncul, agak tidak adil untuk kita hanya menjadi penonton sinis.

 

Kita tidak boleh menghabiskan puluhan tahun menuntut kebebasan media, kemudian enggan hadir apabila diminta membantu membentuknya.

 

Namun sokongan bukan cek kosong atau menjadi pak turut atau pak jilat.

 

Dan di sinilah dilema sebahagian daripada pengamal media bermula.

 

Bekas hakim jadi pengerusi 

Apabila Tan Sri Nallini Pathmanathan diumumkan sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia, reaksi pertama ramai rakan media boleh dijangka.

 

“Tak ada wartawan yang layak?”

 

Soalan itu wajar. Saya sendiri terfikir perkara yang sama, cuma tidaklah gegak gempita.

 

Kita tidak melihat Majlis Peguam dipimpin oleh bukan peguam. Jadi mengapa Majlis Media dipengerusikan oleh seorang bekas hakim?

 

Tetapi mungkin masalah terbesar media Malaysia bukan kekurangan wartawan untuk memimpin.

 

Masalahnya ialah wartawan veteran pun, sepanjang kerjaya mereka, ada saja terpalit atau dikait dengan rejim pemerintah yang sedang berkuasa ketika mereka menjadi “top gun” di media masing-masing. Ada yang secara terbuka, ada yang secara halus. Saya tahulah, sikit-sikit...

 

Ujian sebenar bila media disekat

Pada saya, isu utama bukan sekadar siapa yang duduk di kerusi pengerusi Majlis Media. Isunya ialah bagaimana Majlis Media akan bertindak apabila ia benar-benar diuji iaitu apabila sebuah organisasi media disekat oleh pihak berkuasa.

 

Di saat itu, semua konsep kebebasan media, etika kewartawanan dan kawal selia kendiri tidak lagi berada di slaid pembentangan. Ia menjadi keputusan yang memberi kesan terus kepada operasi, pekerja dan ruang awam untuk mendapatkan maklumat.

 

Ketika itu, kami warga wartawan akan meneliti bagaimana majlis media akan membantu menyelesaikan isu ini? Mampukah majlis media meyakinkan pihak berkuasa supaya menamatkan sekatan? Lalu mengambil alih bentuk tindakan lanjut daripada pihak berkuasa terhadap organisasi media terbabit?

 

Bagaimana jika majlis media mendapati organisasi itu tidak bersalah? Adakah pihak berkuasa akan mendengar dan seterusnya menamatkan sekatan?

 

Contoh di atas ini adalah berasaskan tindakan sekatan pernah berlaku ke atas beberapa portal berita hingga mengakibatkan ramai wartawan terpaksa diberhentikan. Kemungkinan untuk ia berlaku lagi masih tinggi.

 

Tidaklah pula saya mendoakan ia berlaku, dan yakin tidak boleh berlaku dalam masa terdekat menjelang atau dalam musim pilihan raya sekarang ini, melainkan jika mahu hilang lagi undi.

 

Apa berlaku selepas keputusan dibuat

Di atas kertas, MMM boleh berperanan sebagai badan semakan profesional — menilai tindakan, meneliti justifikasi dan mengeluarkan dapatan berdasarkan prinsip kebebasan media.

 

Tetapi di situ bermula persoalan yang lebih penting: selepas dapatan itu dibuat, apa yang berlaku seterusnya?

 

Adakah MMM hanya mengeluarkan kenyataan bahawa sekatan itu tidak wajar, kemudian berhenti di situ?

 

Atau ia mempunyai saluran yang membolehkannya membawa dapatan itu terus kepada pihak berkuasa dengan autoriti moral yang cukup untuk sekurang-kurangnya membuka semakan semula keputusan tersebut?

 

Kerana dalam hubungan antara media dan negara, yang sering menentukan hasil bukan semata-mata prinsip di atas kertas, tetapi kesediaan untuk mengubah keputusan apabila prinsip itu bertembung dengan pertimbangan lain.

 

Mahu gigit kena ada gigi

Mampukah Majlis Media meyakinkan pihak berkuasa supaya menamatkan sekatan terhadap sesebuah organisasi media?

 

Atau lebih jauh, adakah MMM mempunyai apa-apa bentuk tindakan susulan — sama ada dalam bentuk syor yang wajib dipertimbangkan, atau sekurang-kurangnya proses yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja?

 

Soalan ini penting kerana tanpa mekanisme seperti itu, MMM berisiko menjadi sekadar ruang reaksi sama taraf dengan NGO semata-mata, menyalak tetapi tidak menggigit sebab gigi pun tidak ada.

 

Di sinilah ujian sebenar bermula. Bukan sahaja pada keupayaan MMM membuat keputusan, tetapi pada kesediaan pihak berkuasa untuk menerima keputusan tersebut.

 

Situasi seperti ini pernah berlaku apabila sekatan terhadap organisasi media menyebabkan operasi terganggu dan dalam beberapa keadaan, wartawan terpaksa diberhentikan. Kesan rantaian itu tidak berhenti di bilik berita — ia bergerak kepada pekerjaan, akses dan ruang untuk bersuara.

 

Atas sebab itu, yang sedang diperhatikan oleh organisasi media bukan sekadar pelantikan atau struktur MMM.

 

Tetapi sama ada institusi ini benar-benar mampu berdiri mempertahankan hak wartawan dan bukan menjadi boneka kepada sesiapa.

 

Indeks Kebebasan Media

Secara peribadi, saya tidak membantah pelantikan bekas hakim sebagai pengerusi Majlis Media. Saya juga tidak pasti bagaimana ia boleh menambah markah kepada indeks kebebasan media Malaysia.

 

Saya ulang, siapa jadi pengerusi tidak relevan. Yang penting ialah apa tindakan beliau apabila isu benar-benar tercetus.

 

Dan saya ulang lagi — saya belum sempat menghadiri mesyuarat, tetapi saya ahli berbayar Majlis Media Malaysia.

 

Dan saya ulang... saya akan bersuara dan bertanya lagi, itu saya janji. - DagangNews.com
 



Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 34 tahun sebagai wartawan. Merrepak adalah kolum pojok beliau — pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu USAH BERTANYA LAGI oleh SITI FAIRUZ berulang-ulang kali.