Setiap kali bil elektrik meningkat, TNB hampir pasti menjadi sasaran. Tidak banyak bezanya dengan kesesakan lebuh raya yang sering dikaitkan dengan PLUS atau harga beras yang dikaitkan dengan Bernas. Nama syarikat lebih mudah disebut daripada sistem yang berada di belakangnya.
Tetapi dalam kes elektrik, menyalahkan TNB semata-mata mungkin terlalu mudah. Ini ditambah lagi dengan laporan terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai prestasi ekonomi Mei membuka satu ruang perbincangan yang lebih besar.
Inflasi meningkat kepada 2.0 peratus berbanding 1.0 peratus pada April, dengan antara penyumbangnya ialah kenaikan harga elektrik susulan peningkatan kos penjanaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Harga elektrik lebih tinggi dorong inflasi meningkat kepada 2 peratus pada Mei - BNM
Ini bukan sekadar isu bil elektrik. Ia turut memberi kesan kepada inflasi, kos menjalankan perniagaan dan akhirnya harga barangan serta perkhidmatan yang dibayar pengguna.
Ramai membaca angka inflasi itu. Tidak ramai berhenti sejenak untuk memahami dua perkataan yang mengikutinya — kos penjanaan.
Di situlah cerita sebenar bermula.
Kos penjanaan menentukan harga elektrik
Elektrik tidak muncul sebaik sahaja suis ditekan.
Ia perlu dijana di loji janakuasa, dibeli daripada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan stesen janakuasa milik TNB, dihantar melalui grid elektrik negara sebelum diagihkan ke rumah, pejabat dan kilang. Setiap peringkat mempunyai kos.
Bekalan elektrik pula bukan dijana oleh TNB sahaja. Sebahagian bekalan elektrik dibeli daripada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang mengendalikan loji janakuasa di seluruh negara.
Antara IPP (Pengeluar Tenaga Bebas) utama di Semenanjung Malaysia ialah Malakoff Corporation Berhad, Edra Energy Sdn. Bhd., YTL Power Generation Sdn. Bhd., Port Dickson Power Berhad, Kapar Energy Ventures Sdn. Bhd. dan Jimah Energy Ventures Sdn. Bhd.
Kepelbagaian pemain ini membantu memastikan bekalan elektrik negara kekal mencukupi, namun kos penjanaan daripada setiap loji tetap dipengaruhi oleh harga bahan api, kadar pertukaran mata wang dan kecekapan operasi.
Kos terbesar ialah bahan api
Malaysia masih bergantung kepada gas asli dan arang batu sebagai sumber utama penjanaan elektrik.
Berdasarkan analisis Penyelidik Utama Institut Tenaga Lestari, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Ir. Dr. Azfarizal Mukhtar, arang batu masih menyumbang kira-kira 32 peratus daripada kapasiti penjanaan negara. Apabila harga gas atau arang batu meningkat di pasaran dunia, kos penjanaan turut meningkat.
Jika nilai ringgit menyusut, tekanannya menjadi lebih besar kerana sebahagian bahan api dibeli menggunakan mata wang asing.
Sebab itu kenaikan bil elektrik tidak semestinya bermaksud tarif dinaikkan. Dalam keadaan tertentu, perubahan pada bil lebih dipengaruhi oleh peningkatan kos penjanaan yang bergerak mengikut harga bahan api serta mekanisme kawal selia yang ditetapkan kerajaan.

Bermula 1 Julai 2026, mekanisme Pelarasan Bahan Api Automatik (Automatic Fuel Adjustment atau AFA) digunakan bagi mencerminkan perubahan kos bahan api dan kadar pertukaran mata wang dalam bil elektrik.
Ringkasnya, tarif asas ialah kadar yang diluluskan kerajaan, manakala AFA ialah pelarasan berkala yang mengambil kira perubahan kos penjanaan sebenar. Ini bermakna tarif asas boleh kekal, namun jumlah bil bulanan masih berubah mengikut perubahan kos bahan api dan kadar pertukaran mata wang.
BNM sendiri menunjukkan bahawa walaupun inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.0 peratus, inflasi teras kekal pada 2.0 peratus. Ini memberi gambaran bahawa kenaikan kos elektrik menyumbang kepada inflasi, tetapi belum mencetuskan tekanan harga secara menyeluruh.
Siapa sebenarnya menentukan tarif?
Ramai beranggapan TNB bebas menentukan tarif elektrik.
Sebenarnya, struktur tarif ditentukan melalui proses kawal selia yang dikendalikan Suruhanjaya Tenaga sebelum mendapat kelulusan kerajaan.
Suruhanjaya Tenaga menilai kos penjanaan, penghantaran, pengagihan, operasi sistem dan pelaburan yang diperlukan bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil. Hanya kos yang dianggap munasabah dan berhemat boleh diambil kira dalam penetapan tarif.
Ini bermakna TNB tidak menentukan sendiri kadar tarif yang dibayar pengguna.
Sebagai syarikat utiliti, TNB bertanggungjawab mengendalikan sebahagian penjanaan, rangkaian penghantaran dan pengagihan serta memastikan bekalan elektrik sampai kepada lebih 10 juta pengguna di Semenanjung setiap hari.
Walaupun sebahagian besar pengguna menerima bekalan elektrik secara langsung daripada TNB, terdapat juga beberapa kawasan tertentu yang menggunakan model pengagih pukal (bulk distributor).
Pengagih ini membeli bekalan elektrik secara pukal daripada TNB sebelum mengagihkannya kepada pelanggan di kawasan masing-masing. Antara contohnya ialah Nur Power Sdn. Bhd., yang membekalkan elektrik di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park), serta MRCB Sentral Properties Sdn. Bhd., yang merupakan pemegang lesen pengagihan elektrik bagi pembangunan tertentu di KL Sentral.
Mekanisme AFA pula membolehkan perubahan kos bahan api dan kadar pertukaran mata wang dicerminkan dalam bil elektrik tanpa mengubah tarif asas yang diluluskan kerajaan.
Sebab itu, apabila kos penjanaan berubah, jumlah bil yang diterima pengguna juga boleh berubah walaupun tarif asas kekal sama.

Peralihan tenaga bukan tanpa kos
Perbahasan mengenai bil elektrik menjadi lebih mencabar apabila negara sedang melalui fasa peralihan tenaga.
Malaysia telah menetapkan jadual untuk menamatkan operasi 11 loji janakuasa arang batu secara berperingkat antara 2028 hingga 2044.
Bagi Dr. Azfarizal, langkah itu bukan sekadar memenuhi komitmen mengurangkan pelepasan karbon. Ia merupakan keputusan ekonomi bernilai berbilion ringgit yang akan mempengaruhi kos elektrik, daya saing industri dan keupayaan negara menarik pelaburan pada masa hadapan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kapasiti tenaga boleh baharu perlu dibangunkan lebih awal daripada penutupan loji janakuasa arang batu. Jika tidak, jurang bekalan yang terhasil akhirnya akan diisi oleh sumber tenaga lain yang lebih mahal.
LNG import boleh tingkatkan kos elektrik
Di sinilah muncul satu lagi cabaran yang lebih besar. Jika loji-loji janakuasa arang batu ditutup secara berperingkat, sumber tenaga apakah yang akan menggantikannya?
Jawapan yang paling lazim ialah tenaga solar atau tenaga boleh baharu. Namun hakikatnya, peralihannya tidak semudah itu.
Menurut Ir. Dr. Azfarizal, permintaan gas di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat lebih 40 peratus menjelang 2035 apabila loji-loji janakuasa arang batu mula ditamatkan operasinya.
Jika bekalan gas domestik tidak lagi mencukupi, negara perlu bergantung kepada gas asli cecair (LNG) import yang dianggarkan sekitar 29 peratus lebih mahal berbanding gas domestik.
Beliau mengingatkan bahawa jika pembangunan tenaga boleh baharu tidak bergerak seiring dengan penutupan loji-loji arang batu, Malaysia hanya akan menukar satu bentuk pergantungan kepada satu lagi.
"Peralihan yang berjaya mesti mengurangkan kebergantungan, bukan sekadar memindahkannya daripada satu bahan api import kepada bahan api import yang lain."

Amaran itu membawa maksud yang lebih besar daripada soal harga bahan api semata-mata. LNG ialah komoditi global. Harganya dipengaruhi permintaan dunia, ketegangan geopolitik dan turun naik kadar pertukaran mata wang.
Semakin tinggi pergantungan kepada LNG import, semakin besar risiko kos penjanaan elektrik dipengaruhi faktor di luar kawalan negara.
Peralihan tenaga, rupa-rupanya, bukan sekadar memenuhi sasaran pelepasan karbon. Ia juga berkait rapat dengan keselamatan tenaga dan keupayaan negara mengawal kos dalam jangka panjang.
TNB monopoli? Tidak semudah itu
Perkataan "monopoli" sering dikaitkan dengan TNB setiap kali isu bil elektrik dibangkitkan.
Persepsi ini timbul kerana di Semenanjung Malaysia, pengguna hanya berurusan dengan satu rangkaian bekalan elektrik.
“Namun, monopoli dalam industri elektrik berbeza daripada monopoli dalam pasaran barangan atau perkhidmatan biasa,” kata Wan Mohd Farid Wan Zakaria, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Bayangkan jika beberapa syarikat membina tiang elektrik, kabel penghantaran dan pencawang masing-masing di kawasan yang sama. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan kos pembinaan dan penggunaan tanah, malah akhirnya menyebabkan pengguna menanggung kos yang lebih tinggi.
“Atas sebab itu, rangkaian penghantaran dan pengagihan elektrik diiktiraf sebagai monopoli semula jadi (natural monopoly),” jelas beliau.

Menurut Bank Dunia dan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), sebuah grid elektrik lebih cekap dikendalikan oleh satu pengendali kerana ia merupakan infrastruktur kritikal yang memerlukan pelaburan sangat besar dan tidak ekonomik untuk diduplikasi.
Justeru, kebanyakan negara memilih untuk mengawal selia utiliti elektrik secara ketat bagi memastikan tarif yang adil, bekalan yang andal dan pelaburan berterusan demi kepentingan pengguna.
Grid elektrik bukan sekadar kabel
Apabila bercakap mengenai bil elektrik, perhatian sering tertumpu kepada loji janakuasa. Sedangkan elektrik yang dijana masih perlu melalui ribuan kilometer talian penghantaran, pencawang, transformer dan rangkaian pengagihan sebelum sampai ke rumah, pejabat serta kilang di seluruh negara.
Semua infrastruktur itu memerlukan pelaburan dan penyelenggaraan secara berterusan. Transformer perlu diganti apabila usang. Pencawang baharu perlu dibina apabila bandar berkembang.
Talian penghantaran perlu dinaik taraf apabila permintaan meningkat. Sistem kawalan juga perlu diperkukuhkan bagi menghadapi ancaman keselamatan siber dan perubahan corak penggunaan elektrik.
Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengingatkan bahawa peralihan kepada tenaga yang lebih bersih tidak akan berjaya tanpa pelaburan besar dalam grid elektrik.
Penjanaan daripada tenaga solar dan sumber tenaga boleh baharu semakin meningkat, tetapi grid juga mesti diperkasakan supaya mampu menerima bekalan yang berubah-ubah mengikut keadaan cuaca di samping mengekalkan kestabilan sistem.
Wan Mohd Zakaria menjelaskan, kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan grid melibatkan kos pelaburan infrastruktur yang tinggi, yang dicerminkan dalam bil elektrik bulanan pengguna melalui caj rangkaian.

“Bagi memastikan pengagihan kos yang adil, pengguna yang menggunakan lebih banyak elektrik sewajarnya membayar caj rangkaian yang lebih tinggi. Oleh itu, kadar caj rangkaian ditetapkan berdasarkan penggunaan elektrik bulanan, yang diukur dalam kilowatt-jam (kWj),” kata beliau.
Namun, kegagalan melabur dalam infrastruktur itu boleh membawa kos yang jauh lebih besar kepada ekonomi negara.
Bil elektrik bukan sekadar angka
Akhirnya, bil elektrik bukan sekadar bil penggunaan tenaga.
Di sebalik setiap ringgit yang dibayar, terdapat kos bahan api, pembelian tenaga daripada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), pelaburan dalam grid elektrik, penyelenggaraan pencawang dan transformer, pembangunan tenaga boleh baharu serta dasar yang ditetapkan kerajaan melalui kerangka kawal selia Suruhanjaya Tenaga.
Oleh itu, perbahasan mengenai bil elektrik tidak sepatutnya terhenti pada persoalan sama ada tarif naik atau tidak.
Persoalan yang lebih penting ialah sama ada sistem bekalan elektrik negara diurus secara cekap, kos yang dipindahkan kepada pengguna benar-benar munasabah dan setiap pelaburan yang dibuat mampu menjamin bekalan elektrik yang stabil, selamat dan boleh dipercayai.
Pengguna sememangnya berhak menikmati tarif yang berpatutan
Pada masa yang sama, pengguna juga berhak mengetahui bagaimana tarif itu dibentuk, mengapa sesuatu pelarasan perlu dibuat dan bagaimana setiap ringgit yang dibayar membantu memastikan lebih 10 juta pengguna di Semenanjung terus menikmati bekalan elektrik yang stabil.

Dalam dunia yang dipengaruhi turun naik harga bahan api global, kadar pertukaran mata wang dan tuntutan peralihan tenaga, tidak semua faktor yang mempengaruhi bil elektrik berada dalam kawalan negara.
Akhirnya, bil elektrik bukan sekadar soal tarif atau AFA. Ia mencerminkan keseimbangan antara kos penjanaan, keselamatan bekalan, pelaburan infrastruktur dan kemampuan rakyat membayar.
Memahami bagaimana sistem itu berfungsi mungkin tidak menjadikan bil lebih murah, tetapi sekurang-kurangnya pengguna tahu mengapa mereka membayarnya. - DagangNews.com








