Siapa tahu apa itu Skim Persaraan Swasta? Angkat tangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siapa tahu apa itu Skim Persaraan Swasta? Angkat tangan

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

Saya ada seorang kawan yang setiap kali gaji masuk, perkara pertama yang dia tengok ialah baki akaun bank. Bukan baki KWSP. Bukan juga pelaburan.

 

Baki akaun bank.

 

Logiknya mudah. Duit itu yang boleh digunakan hari ini. Yang lain, esok fikir kemudian.

 

Saya tidak salahkan dia. Malah saya percaya ramai rakyat Malaysia berfikir begitu. Sebab itu apabila bercakap tentang simpanan persaraan, ramai hanya tahu satu nama — KWSP.

 

Apabila disebut Skim Persaraan Swasta atau Private Retirement Scheme (PRS), ramai akan mengangguk. Tetapi kalau ditanya bagaimana ia berfungsi, siapa yang mencarum dan apa bezanya dengan KWSP, tiba-tiba suasana menjadi sunyi.

 

Itulah yang saya fikir apabila membaca kenyataan bahawa nilai aset di bawah pengurusan PRS kini mencecah RM10.9 bilion.

 

Angka itu memang besar.

 

Tetapi adakah angka itu benar-benar menceritakan keseluruhan kisah?

 

Wow Bilion Bilion Ringgit!

Kalau kita hanya membaca tajuk berita, kita mungkin menganggap PRS sedang berkembang dengan begitu hebat.

 

Namun apabila kita melihat sedikit lebih dalam, ceritanya menjadi lebih menarik.

 

Sehingga kini, PRS mempunyai lebih 690,000 ahli. Dalam tempoh hampir 14 tahun sejak diperkenalkan, pertambahan aset tahun ini sekitar RM2.1 bilion.

 

Daripada jumlah itu pula, hanya kira-kira RM379 juta datang daripada caruman baharu.

 

Selebihnya disumbangkan oleh pulangan pelaburan dan pertumbuhan nilai aset.

 

Di sinilah saya mula bertanya.

 

Adakah PRS berkembang kerana semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk menyimpan bagi hari tua?

 

Atau angka aset itu bertambah kerana pasaran pelaburan sedang memberikan pulangan yang lebih baik?

 

Dua-duanya bukan perkara yang sama.

 

KWSP ada, perlukah PRS?

Jangan salah faham. Saya bukan mengatakan PRS gagal. Kalau gagal, sudah tentu nilainya tidak mencecah RM10.9 bilion.

 

Tetapi objektif asal PRS bukan sekadar mengumpul aset. Ia diwujudkan supaya rakyat mempunyai satu lagi tabung persaraan selain KWSP.

 

Persoalannya, selepas hampir 14 tahun, adakah PRS sudah menjadi pilihan biasa rakyat Malaysia? Atau ia masih dianggap produk kewangan yang "nanti dululah"?

 

Kalau benar PRS sudah menjadi sebahagian daripada budaya menyimpan rakyat Malaysia, kita sepatutnya melihat pertumbuhan ahli dan caruman yang lebih rancak, bukan sekadar bergembira melihat nilai aset meningkat.

 

Mungkin masalahnya bukan pada PRS

Saya pelik juga. Di negara ini, kita boleh beratur berjam-jam untuk membeli telefon baharu. Kita sanggup membayar ansuran bulanan untuk pelbagai perkara.

 

Tetapi apabila menyentuh simpanan persaraan, ramai memilih untuk menangguhkan keputusan.

 

Mungkin masalahnya bukan pada PRS.

 

Mungkin masalahnya ialah kita masih melihat persaraan sebagai sesuatu yang terlalu jauh. Sedangkan setiap hari yang berlalu sebenarnya membawa kita semakin hampir kepadanya.

 

Sebab itu saya tidak fikir ukuran kejayaan PRS sepatutnya hanya berdasarkan jumlah aset.

 

Ukuran yang lebih penting ialah berapa ramai rakyat Malaysia benar-benar menjadikan PRS sebagai sebahagian daripada rancangan kewangan mereka.

 

Jika angka itu masih perlahan, maka masih banyak kerja yang perlu dilakukan.

 

Bukan sahaja oleh penyedia PRS atau Pentadbir Pencen Swasta (PPA), tetapi juga oleh semua pihak yang mahu melihat rakyat bersara dengan lebih bermaruah.

 

Kalau tidak, kita mungkin akan terus meraikan angka aset yang semakin besar, sedangkan tabiat menyimpan rakyat berubah terlalu perlahan.

 

Dan akhirnya, kita akan kembali bertanya soalan yang sama setiap beberapa tahun.

 

Kenapa rakyat Malaysia masih belum benar-benar bersedia untuk bersara? - DagangNews.com

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror sepanjang lebih 34 tahun kerjayanya sebagai wartawan. Merrepak ialah kolum pojok beliau yang mula diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009, menyentuh apa sahaja isu yang mencuit jiwa dan minda sepanjang minggu, atau yang membuatkannya mendengar lagu Kisah Seorang Biduan nyanyian Dhalan Zainuddin berulang-ulang kali.