MCMC menilai pelan perniagaan U Mobile untuk rangkaian 5G kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCMC menilai pelan perniagaan U Mobile untuk rangkaian 5G kedua

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Feb - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih sedang menilai pelan perniagaan terperinci U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) untuk pelancaran rangkaian 5G kedua negara.

 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau menjangkakan notis untuk penganugerahan kerja-kerja tersebut akan dapat dikeluarkan kepada operator telekomunikasi berkenaan dalam tempoh sebulan.

 

“Ini bakal membolehkan U Mobile memulakan pembangunan rangkaian 5G kedua, namun tertakluk kepada kelulusan pelan perniagaan terperinci yang dikemukakan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

 

Syarikat itu juga ujarnya, perlu menyelesaikan beberapa obligasi di bawah perjanjian pemegang saham yang telah ditandatangani U Mobile dan penyedia rangkaian mudah alih lain dengan Digital Nasional Berhad (DNB).

 

Difahamkan bahawa MCMC turut sedang rapi menilai pelan perniagaan terperinci DNB itu sebelum inisiatif pembangunan rangkaian 5G kedua negara ini dapat dilaksanakan oleh semua pihak terlibat dengan lancar.

 

Fahmi bagaimanapun berkata proses untuk penyelesaian kewajipan tersebut, yang tidak dihuraikannya secara lebih terperinci, dijangka kemungkinan besar perlu mengambil masa dalam kira-kira lima bulan lagi.

 

“U Mobile namun sebenarnya sudah pun boleh menjalankan pelbagai kerja-kerja awal di tapak lapangan projek berdasarkan kepada pelan perniagaan terperinci, setelah ia diluluskan oleh pihak SKMM,” jelas beliau.

 

Operator itu telah pun selesai menandatangani memorandum persefahaman dengan CIMB Bank Berhad pada bulan lalu untuk melanjutkan sokongan pembiayaan bagi pelancaran jaringan 5G yang akan datang.

 

Pengerusinya, Vincent Tan berkata syarikat tersebut sudah merancang untuk melancarkan rangkaian ini secara bebas dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang, tanpa bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan.

 

Beliau sebaliknya dilaporkan cuba mengintai prospek perkongsian strategik dengan dua pembekal telekomunikasi terkenal dari China iaitu Huawei Technologies Co Ltd dan ZTE Corp.- DagangNews.com