KUALA LUMPUR 15 Nov – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini mengalih fokus utama daripada memastikan sambungan semata-mata kepada pembangunan kapasiti insan digital aktif.
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) MCMC, Eneng Faridah Iskandar berkata, usaha berkenaan perlu khususnya dalam ekosistem kecerdasan buatan (AI) dan perlu memastikan rakyat negara ini bersedia.
MCMC jelas beliau, menyedari majoriti masyarakat Malaysia pada masa ini masih lagi hanya berfungsi sebagai pengguna teknologi AI, dan bukannya pembangun platform digital aktif seperti negara maju.
“Justeru, kami perlu memastikan rakyat bersedia, bukan menjadi pengguna pasif, tetapi pembangun aktif,” katanya ketika sesi diskusi Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCFMY 2025).
Acara selama tiga hari yang berakhir hari ini anjuran MCMC, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) serta Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) di ibu negara.
Mengulas lanjut, sejajar usaha itu, MCMC dan Universiti Multimedia (MMU) bekerjasama menubuhkan Pusat Transformasi AI dengan menyediakan dana untuk meningkatkan sumber manusia.
Beliau namun menjelaskan, walaupun usaha pembangunan keupayaan dipertingkatkan, cabaran digital utama negara sudah beralih daripada isu liputan internet kepada isu kredibiliti dan kepercayaan.
"Landskap digital Malaysia ketika ini sangat terhubung, dengan liputan di kawasan berpenduduk yang merupakan kira-kira 20 peratus per kilometer persegi telah mencapai lebih 99 peratus," katanya.
Oleh itu ujar beliau, tumpuan pihak kerajaan kini semakin beralih kepada ‘sambungan yang bermakna’ dan etika digital, terutamanya untuk menangani cabaran salah maklumat atau berita palsu.
MCMC kata Eneng Faridah, sedar teknologi ibarat pedang bermata dua; kerana ia memudahkan kehidupan seperti pengguna yang mengelakkan kesilapan tatabahasa dalam dokumen, tetapi juga membawa cabaran.
Artikel berkaitan: Sistem penarafan dipacu industri dilihat langkah terbaik kawal selia pempengaruh, kata MCMC

Dalam menghadapi kandungan AI yang semakin sofistikated, MCMC tegas beliau, sedang melaksanakan banyak intervensi kawal selia yang penting, termasuk penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian.
"Sebenarnya ia telah diwartakan dan dijangka berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 atau suku pertama tahun depan dan bertujuan mengenakan akauntabiliti yang besar ke atas pembekal teknologi," katanya.
Langkah berkenaan jelas beliau, bakal memastikan platform digital yang berada di pasaran tempatan selamat dan terjamin bagi semua pengguna, termasuk mengenal pasti serta melabelkan kandungan AI.
Eneng Faridah menekankan tugas pelabelan kandungan AI bukan boleh dilakukan kerajaan, sebaliknya perlu oleh pencipta kandungan itu sendiri atau pihak yang membenarkan ia berada di platform mereka.
Tambahnya, adalah tidak adil sekiranya pengamal perhubungan awam dipertanggungjawabkan pula atas kerja mereka, tetapi syarikat gergasi platform ini dibenarkan mengelak daripada tanggungjawab.
"MCMC juga menegaskan bahawa usaha ‘mengawal selia internet’ secara menyeluruh pasti gagal, kerana cabaran paling sukar dalam teknologi yang sentiasa berevolusi ialah isu pendidikan awam," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan orang awam berminat dengan mesej yang disampaikan agensi berkenaan, serta penglibatan semua sektor untuk bertanggungjawab bersama-sama.
MCMC kata Eneng Faridah, menggalakkan pendekatan kolaboratif ditambah penglibatan pihak industri, manakala prinsip kawal selia kendiri memang digariskan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Undang-undang yang berusia hampir 30 tahun itu, sudah lama memastikan penyertaan industri dalam pembangunan dasar, termasuk melalui diskusi awam seperti Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia.
"Dalam konteks pembangunan, MCMC juga meluaskan ruang lingkup kerjasama di luar sektor tradisional iaitu telekomunikasi dan penyiaran kepada vertikal lain, termasuk teleperubatan," jelas beliau.
Selain itu, MCMC menawarkan kedudukan Malaysia sebagai calon bagi pemilihan semula kerusi majlis di Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) sebagai peluang inisiatif digital di peringkat global.
Secara keseluruhan ujarnya, MCMC melihat keseimbangan agar peraturan tidak membantutkan inovasi, dan kerjasama dengan pelbagai industri bagi memastikan teknologi yang positif. - DagangNews.com








