KUALA LUMPUR 3 Nov – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang merangka 10 undang-undang subsidiari di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian bagi memperkukuh akauntabiliti penyedia perkhidmatan berlesen dalam menangani isu ancaman dalam talian, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Katanya, antara tumpuan utama pembangunan instrumen tersebut ialah kajian terhadap kaedah pengesahan umur dan identiti pengguna dalam talian bagi memastikan platform digital lebih selamat, khususnya untuk golongan muda.
“Dalam instrumen subsidiari ini, MCMC sedang meneliti kaedah praktikal bagi pengesahan umur dan identiti pengguna di platform dalam talian,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Fahmi, Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) akan berfungsi secara serentak dengan Akta Keselamatan Dalam Talian serta Akta Komunikasi dan Multimedia, bagi memperkukuh perlindungan data peribadi pengguna.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, yang meminta penjelasan mengenai peruntukan undang-undang yang akan digunakan untuk menguatkuasakan pengesahan umur di platform media sosial.
Sejak 1 Januari 2022 hingga 15 Oktober 2025, MCMC telah mengemukakan 1,521 permohonan kepada penyedia platform bagi menurunkan kandungan berunsur bahaya atau sangat berbahaya yang melibatkan kanak-kanak.
Daripada jumlah itu, 96 peratus atau 1,456 kandungan telah berjaya diturunkan oleh platform terlibat berdasarkan garis panduan komuniti dan undang-undang tempatan yang berkaitan.
Fahmi berkata, kerajaan komited memastikan keselamatan dalam talian terus menjadi keutamaan, terutama bagi melindungi kanak-kanak melalui kerjasama berterusan bersama platform digital bagi membendung penyebaran kandungan berbahaya dan eksploitasi dalam talian. - DagangNews.com








