KUALA LUMPUR 9 April – MCE Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Eagle MCE Technologies (Malaysia) Sdn Bhd menandatangani perjanjian untuk memperoleh 50 peratus kepentingan ekuiti dalam FP Project Enterprise Sdn Bhd daripada Lim Wei Huat pada harga RM1.9 juta.
Transaksi itu melibatkan pembelian 250,000 saham biasa FP Project, yang menjadikan Eagle MCE dan Lim See Chiang masing-masing memegang 50 peratus saham selepas pengambilalihan awal selesai.
“FP Project Enterprise merupakan syarikat yang terlibat dalam perkilangan plastik dan fabrikasi alat, dan merupakan pembekal utama kepada kumpulan MCE.
“Seiring dengan pengambilalihan, Eagle MCE dan Lim See Chiang menandatangani Perjanjian Pemegang Saham Baru yang menetapkan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak serta cara pengeluaran saham baru.
“Di bawah perjanjian ini, Eagle MCE akan diberikan 750,000 saham tambahan pada harga RM3.70 sesaham, menjadikan pegangan akhirnya meningkat kepada 80 peratus, manakala Lim See Chiang kekal dengan 20 peratus,” kata MCE dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
MCE menjelaskan harga pembelian sebanyak RM1.9 juta dipersetujui berdasarkan kaedah persetujuan antara pembeli dan penjual, mengambil kira aset bersih syarikat, nilai hartanah, keuntungan, dan nilai baik nama FP Project
Pengambilalihan ini dijangka diselesaikan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh perjanjian dan akan menjadikan FP Project sebagai anak syarikat milik MCE secara tidak langsung.
Syarikat berkata pengambilalihan ini sejajar dengan strategi MCE untuk memperkukuhkan operasi utama, meningkatkan keupayaan hulu, serta mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar.
Langkah ini juga memberi peluang untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan kepada sektor bukan automotif.
Pembiayaan pengambilalihan ini akan menggunakan dana dalaman syarikat, dan pihak MCE tidak menjangka sebarang kesan besar terhadap modal saham, aset bersih, keuntungan atau nisbah pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026. - DagangNews.com








