KUALA LUMPUR 12 Mac — MCE Holdings Berhad menerima kontrak utama bagi membekalkan komponen mekatronik ke Amerika Syarikat (AS) dan pada masa sama membentuk usaha sama dengan Eagle Group dari Hong Kong bagi mempelbagaikan kerja pembuatan kontrak yang bukan automotif.
Perkembangan strategik itu dilakukan melalui anak syarikat milik penuhnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad, dengan kontrak selama 60 bulan bersama pembekal automotif berpangkalan di Michigan, AS iaitu JVIS USA LLC (JVIS).
Kontrak tersebut yang bernilai kira-kira RM22.13 juta, akan menyaksikan MCE membekalkan komponen mekatronik untuk pelbagai model kenderaan baharu di pasaran AS, dengan pengeluaran dijadualkan bermula pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027.
"JVIS terkenal menerusi rumusan pembuatan dan kejuruteraan termaju serta perkhidmatan kepada pembuat kereta global ternama. Ini mengukuhkan imej MCE sebagai pembekal komponen automotif berkualiti tinggi dipercayai antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Naib Presiden Pembelian JVIS, Arthur Hariskos berkata, pihaknya mengutamakan penyelesaian automotif yang pintar, selamat dan cekap manakala kepakaran MCE dalam mekatronik dan elektronik sejajar dengan komitmen penyelesaian berkualiti tinggi kepada pembuat kereta.
Untuk memacu pertumbuhan melangkaui teras automotifnya, MCE telah bekerjasama dengan Sounding Industries Ltd (SIL), anak syarikat Eagle Group yang berpangkalan di Hong Kong, untuk menubuhkan usaha sama baharu yang tertumpu pada pembuatan kontrak bukan automotif.
Eagle Group ialah pengilang peralatan asal (OEM) dan pengilang reka bentuk asal (ODM) yang terkenal cukup mantap, dengan berpengalaman luas selama lebih tiga dekad kepakaran dalam bidang elektronik pengguna, elektronik automotif dan pembuatan ketepatan.
Perkongsian distrukturkan sebagai usaha sama 50:50 melalui anak syarikat milik penuh MCE, MCE Ventures Sdn Bhd, yang bakal menyediakan perkhidmatan pembuatan kontrak untuk pelbagai produk bukan automotif, termasuk mesin pemotong mati dan pembungkusan produk kosmetik.
Kerjasama strategik ini memanfaatkan kepakaran kejuruteraan dan pembuatan MCE sambil dapat mengembangkan jejaknya kepada produk pengguna bukan automotif yang bernilai tinggi dengan potensi eksport, mewujudkan peluang pasaran baharu dan jaminan aliran pendapatan.
Pengarah SIL, Aldy Tang berkata, perkongsian ini menggabungkan kepakaran kejuruteraan MCE dan dengan keupayaan pengeluaran MCE, SIL berada pada kedudukan baik untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi, kejuruteraan ketepatan ke pasaran domestik dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun berkata, ini adalah detik penting untuk MCE Holdings, menunjukkan keupayaan untuk menyampaikan penyelesaian teknologi berkualiti tinggi dan kos efektif kepada pemain automotif terkemuka di seluruh dunia. - DagangNews.com








