MCE raih banyak manfaat berikutan lanjutan pengecualian cukai kenderaan elektrik tempatan, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCE raih banyak manfaat berikutan lanjutan pengecualian cukai kenderaan elektrik tempatan, kata HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 OktMCE Holdings Berhad dijangka antara penerima manfaat utama susulan lanjutan pengecualian cukai untuk kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan (CKD) sehingga akhir 2027.


Sebaliknya, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), penamatan pengecualian bagi duti import dan eksais EV import dipasang sepenuhnya (CBU) mulai tahun depan, dijangka menaikkan harga model itu.


Perkembangan positif tersebut jelas firma penyelidikan itu, sekali gus meningkatkan daya saing model CKD yang selama ini menjadi pelanggan syarikat, terutama bagi model EV akan datang daripada Perodua.


"Jurang harga yang semakin melebar antara EV model CBU dan CKD akan memberikan kelebihan kepada pengeluar tempatan seperti Perodua yang memiliki penguasaan pasaran kukuh," katanya dalam nota.


Tambahan pula jelas HLIB, syarikat automotif berkenaan mempunyai rangkaian pengedaran yang luas serta keupayaan dalam menetapkan harga berdaya saing untuk dibeli golongan berpendapatan rendah.


Trend ini kata firma tersebut, dijangka memberikan limpahan manfaat kepada pembekal komponen tempatan seperti MCE sendiri, yang membekalkan sistem hiburan dalaman dengan teknologi tinggi.


Syarikat berkenaan juga jelasnya, merupakan pembekal komponen sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) bagi model EV keluaran Perodua dan dasar cukai baharu untuk EV ternyata menguntungkan MCE.


"Selain itu, insentif pelupusan kenderaan sehingga RM4,000 bagi kereta berusia lebih 20 tahun dijangka merangsang permintaan penggantian model nasional seperti Proton dan Perodua," kata HLIB.


Secara umum tambah firma tersebut, sekitar 80% hasil pendapatan MCE datang daripada dua jenama nasional ini, dan trend peningkatan jualan kenderaan nasional akan meningkatkan tempahan komponen.


Langkah berkenaan secara langsung katanya, mampu menyokong pengeluaran yang lebih konsisten dan
diyakini mengukuhkan lagi kejelasan pendapatan syarikat berkenaan dalam tempoh jangka sederhana.


HLIB pada masa sama, melihat dasar kerajaan yang diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025 sebagai memberikan angin sokongan bersifat pelbagai hala kepada MCE sendiri.


"Ini termasuk dari aspek harga EV CKD yang lebih kompetitif, pertumbuhan positif jualan kereta nasional dan rangsangan permintaan daripada insentif pelupusan kenderaan laman," jelasnya lagi.


Gabungan faktor ini diyakini dapat menyokong perkembangan tempahan, pendapatan yang lebih stabil, serta potensi pertumbuhan jangka panjang MCE dalam ekosistem EV negara dalam jangka panjang pula.


Berdasarkan situasi semasa itu, HLIB mengekalkan saranan 'beli' ke atas syarikat berkenaan dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.40 sesaham. - DagangNews.com