MCA kini miliki 43% ekuiti Star Media, muncul sebagai pemegang saham terbesar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MCA kini miliki 43% ekuiti Star Media, muncul sebagai pemegang saham terbesar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Jan - Star Media Group Berhad memaklumkan yang sebuah parti politik, Malaysian Chinese Association (MCA) kini memiliki 43.23% saham secara langsung dalam syarikat berkenaan.


Katanya, perkembangan tersebut berikutan tambahan pembelian sebanyak 172,000 unit saham secara tidak langsung dalam dua transaksi melalui Huaren Holdings Sdn Bhd pada 2 dan 5 Januari 2026.


Sehubungan itu jelasnya, MCA memegang kira-kira 313.3 juta saham secara langsung manakala pegangan tidak langsung atau dianggap melalui syarikat berkait sudah berjumlah 36.2 juta unit saham.

 

 

 

 


"Berdasarkan situasi ini, jumlah keseluruhan pegangan MCA menjadi sebanyak 349.5 juta saham, bersamaan 48.2% daripada keseluruhan saham Star Media," maklumnya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Perubahan ekuiti dalam kumpulan tersebut berlaku ekoran pembelian saham oleh Huaren Holdings dengan parti berkenaan memang sudah mempunyai kepentingan, menurut Seksyen 8 Akta Syarikat 2016.


Pegangan tidak langsung MCA terdiri daripada sejumlah 35.99 juta unit saham yang dimilikinya melalui Huaren Holdings dan kira-kira 200,000 unit lagi menerusi Huaren Management Sdn Bhd.

 

 

 

 


Dengan pegangan ini, parti berkenaan terus menjadi pemegang saham terbesar di Star Media Group, sekali gus memberikan pengaruh signifikan terhadap keputusan strategik syarikat tersebut.


Makluman ini dibuat selaras dengan Seksyen 138 Akta Syarikat 2016 yang mewajibkan pemegang saham besar mendedahkan perubahan pegangan dalam syarikat tersenarai. - DagangNews.com